Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OGOS 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan yang mewakili Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhasrat mencabar kesahan pertuduhan tidak mengisytiharkan harta termasuk wang tunai RM14.7 juta, jutaan wang tunai pelbagai mata wang asing serta lima ketul jongkong emas yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan tersebut bersandarkan kepada beberapa isu perundangan selepas meneliti dokumen yang diperolehi daripada pihak pendakwaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ifa Sirrhu Samsudin memberitahu Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pembelaan hari ini.

Menurutnya, sebanyak lima jilid dokumen di bawah Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, diserahkan antaranya termasuk dokuman sitaan dan beberapa dokuman harta (diisytiharkan) yang dimiliki Ismail Sabri.

Sehubungan itu, beliau yang hadir bersama-sama Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon tarikh sebutan berikutnya bagi status penyerahan baki dokumen dan senarai saksi.

Hakim Suzana Hussin kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 4 Disember ini.

Terdahulu, Amer Hamzah memohon agar baki dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum tarikh sebutan bagi membolehkan peguam mengkajinya terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri, 66, didakwa sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Notis berkenaan telah dihantar kepadanya oleh seorang pegawai SPRM pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya pada 7 Februari 2025.

Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150, SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta, ¥363 juta, £50,250, NZ$44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu AED34.7 juta dan AU$352,850.

Ia termasuk lima jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat satu kilogram setiap satu, selain satu jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan satu syiling emas 999 Fine Gold (lima gram).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here