KUALA LUMPUR – Pendirian DAP dipersoalkan selepas Anthony Loke menjelaskan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan hanya akan berkuat kuasa apabila Datuk Seri Najib Razak mula menjalani tahanan rumah.
Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, pada peringkat awal rakyat diberikan gambaran seolah-olah beberapa pemimpin DAP itu tidak sabar mahu meninggalkan Kabinet sebagai tanda bantahan.
Sebelum itu, DAP juga dikatakan mahu menilai semula kedudukan dalam kerajaan sebelum akhirnya memutuskan untuk terus kekal.
“Sekarang pula peletakan jawatan Anthony dikatakan hanya berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani tahanan rumah.
“Dulu gambaran yang diberikan mahu keluar Kabinet ramai-ramai. Kemudian mahu buat semakan semula dan akhirnya tidak jadi keluar.
“Sekarang muncul pula syarat atau masa lain untuk peletakan jawatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mutalif juga mempersoalkan sama ada tindakan berkenaan benar-benar berasaskan prinsip atau sekadar percaturan politik untuk mengurus persepsi rakyat terhadap DAP.
Jika keputusan untuk meletakkan jawatan dibuat atas prinsip, beliau berpendapat, ia tidak sepatutnya bergantung kepada perkembangan lain.
“Kalau sudah kata mahu berundur, berundurlah. Jangan hari ini kata mahu keluar, kemudian buat semakan, akhirnya kekal dan sekarang tunggu pula bila tahanan rumah bermula.
“Rakyat bukan tidak faham politik. Mereka boleh melihat sendiri rentetan yang berlaku,” katanya.
Mutalif turut menyentuh imej Anthony sebagai pemimpin utama DAP yang boleh terjejas apabila pendirian yang diumumkan tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan dengan segera.
“Apabila seseorang pemimpin membuat pengumuman besar tetapi pelaksanaannya dikaitkan pula dengan perkembangan lain sudah tentu rakyat akan mempersoalkan sejauh mana pendirian itu benar-benar kukuh.
“Jangan sampai rakyat melihatnya sebagai usaha membina imej kononnya DAP mengambil pendirian tegas akhirnya keputusan yang dibuat tidak seperti gambaran awal,” kata beliau.
Dalam masa sama, Mutalif mengingatkan DAP supaya tidak menjadikan UMNO sebagai sasaran apabila timbul kritikan terhadap keputusan parti itu.
“UMNO tidak membuat keputusan bagi pihak DAP. Kalau mahu keluar, itu keputusan DAP. Kalau mahu kekal, itu juga keputusan DAP.
“Jadi apabila rakyat mempersoalkan pendirian yang berubah-ubah, tidak perlu menuding jari kepada pihak lain,” katanya lagi.
Beliau berkata, perkembangan berkenaan berpotensi menjadi antara isu yang akan mempengaruhi persepsi terhadap DAP menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.
Menurutnya, pengundi akan melihat bukan sahaja apa yang disebut pemimpin ketika berlaku sesuatu krisis tetapi juga tindakan yang diambil selepas itu.
Mutalif mahu DAP tampil dengan pendirian yang jelas dan tidak terus membiarkan isu tersebut berkembang sebagai satu lagi polemik politik.
“Kalau mahu kekal dalam kerajaan, nyatakan dengan jelas. Kalau mahu berundur, laksanakan. Jangan setiap kali rakyat menunggu tindakan, muncul pula episod baharu. Akhirnya yang dipersoalkan bukan lagi isu asal tetapi kredibiliti dan konsistensi DAP sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Najib pulang rumah baru peletakan jawatan saya berkuat kuasa – Anthony

















Hentam cukup2 sebab manusia macam puak DAP ni patut di ludah je.Diaorang hanya tahu salahkan orang lai tp diri sendiri bergelumang tahi.