Pemandangan udara kawasan yang dilanda banjir ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2021. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan tuntutan saman 50 penduduk Taman Sri Muda terhadap Kerajaan Pusat dan agensi lain berhubung insiden banjir yang telah meragut 12 nyawa di kawasan itu pada 2021.

Pesuruhjaya Kehakiman Shoba Rajah berpuas hati, penduduk berkenaan selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutan mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian terhadap kerajaan dan dua agensi negeri.

Beliau memutuskan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertanggungjawab secara bersama dengan kerajaan Persekutuan.

“Mahkamah memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan kewujudan kewajipan berjaga-jaga yang boleh dijangka yang timbul daripada fungsi operasi dan tanggungjawab pengurusan bencana defendan,” demikian menurut laporan FMT hari ini.

Mahkamah berpuas hati, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ‘gagal meningkatkan tahap tindak balas bencana, mengekalkan pusat penyelarasan utama dan mengerahkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dengan berkesan’ semasa banjir itu.

Katanya, pihak berkuasa gagal menguruskan lokasi kejadian dengan berkesan menyebabkan usaha mencari dan menyelamat sebahagian besarnya diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) gagal mengeluarkan amaran tepat pada masanya pada tahap bahaya yang sewajarnya, meskipun ramalannya menunjukkan bahawa ambang yang berkaitan telah dicapai,” demikian keputusan mahkamah seperti yang disiarkan oleh portal tersebut.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 6 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran terhadap taksiran ganti rugi.

Pada Jun 2022, seramai 50 penduduk Taman Sri Muda dekat Seksyen 25, Shah Alam memfailkan saman terhadap atas alasan kecuaian dan pelanggaran tanggungjawab ketika bencana banjir buruk menimpa mereka pada Disember 2021.


Pada prosiding itu, kesemua 50 penduduk diwakili peguam James Joshua Paulraj, Regine Ng, Ahmad Badri Mustaffa, M. Gobinath dan P. Taneswaran.

Peguam Kanan Persekutuan Al-Saifi Hashim, Nurul Farhana Khalid dan Liew Horng Bin hadir bagi pihak kerajaan Persekutuan, Muhammad Shah Faris Kamarulzaman mewakili Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor manakala Norazalina Hairuddin masing-masing mewakili JPS Selangor dan MBSA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here