Maktab Sultan Abu Bakar di Jalan Ayer Molek, Johor Bahru dinaiki banjir kilat sehingga paras pinggang.- Foto media sosial

JOHOR BAHRU – Hujan lebat selama beberapa jam petang tadi menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan dalam bandar raya ini hingga menyebabkan aliran trafik terganggu.

Tular video dan gambar banjir kilat dalam media sosial antaranya di kawasan Holliday Villa Hotel, pusat beli-belah KSL, Century Garden, Jalan Yahya Awal, Danga Bay dan Kampung Ubi Bahru.

Turut terjejas Jalan Kolam Ayer, Taman Kolam Air di sini termasuk foto di Maktab Sultan Abu Bakar yang menyaksikan air naik sehingga paras pinggang.

Bagaimanapun sehingga kini tidak melibatkan sebarang pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Pelajar di Sekolah Agama Bandar, Jalan Yahya Awal, Johor Bahru diminta pulang kerana banjir kilat.- Foto media sosial

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Azizi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan untuk memohon bantuan di Jalan Kolam Air pada pukul 3.20 petang.

“Seramai lapan anggota dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 10 kilometer.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati berlaku banjir kilat. Kesemua mangsa telah keluar dari kawasan terjejas dan kawasan kejadian dalam keadaan terkawal.

“PKO bertindak membuat pemantauan dan memastikan keadaan selamat serta operasi tamat pukul 4.05 petang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Larkin, Pegawai Bomba Kanan I Nakish Nekmat memberitahu, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan berhubung banjir kilat di Lebuhraya Skudai menghala ke pusat bandar pukul 3.20 petang tadi yang jaraknya8 kilometer.

Keadaan banjir kilat di Jalan Cerah, Kampung Seri Serdang, Johor Bahru

Susulan itu katanya, seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera FRT dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya PKO di tempat kejadian didapati berlaku banjir kilat. tiada mangsa terlibat dan kawasan kejadian dalam keadaan terkawal. PKO bertindak membuat pemantauan dan memastikan keadaan selamat. Operasi selesai pukul 3.50 petang,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here