HANOI- Grand Prix Formula Satu Vietnam telah dikeluarkan dari kalender F1 bagi musim 2021.
Perlumbaan yang dijadualkan di atas litar jalanan sepatutnya berlangsung April lalu bagaimanapun ditangguhkan berikutan penularan pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, tarikh 25 April 2021 dalam kalender F1 musim depan kosong tanpa diisi nama penganjur.
Senarai lengkap GP F1 musim depan dikeluarkan pada Selasa.
Ketiadaan nama dalam senarai penganjur F1 musim 2021 menghancurkan impian negara Asia Tenggara itu untuk menjadi tuan rumah temasya itu buat julung kali.
F1 musim 2021 dijadualkan membuka tirai di Australia pada 21 Mac 2021 dan akan menutup tirai pada 5 Disember 2021 dengan GP F1 Abu Dhabi.
GP British di litar Silverstone akan berlangsung 18 Julai depan manakala GP Arab Saudi akan diadakan 28 November 2021.-MalaysiaGazette
















