KUALA LUMPUR – Muak dengan retorik dan cakap kosong segelintir pemimpin DAP, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, beliau amat menghormati pemimpin DAP terutamanya yang lantang bercakap mengenai kebajikan rakyat.

Bagaimanapun kata Vigneswaran, tidak ada seorang pun dalam kalangan pemimpin dalam kategori itu adalah pimpinan India.

“Ramai pemimpin DAP hanya pandai atau hanya mampu untuk sekadar keluarkan kenyataan demi kenyataan menuding jari kepada MIC. Saya hormat ramai pemimpin DAP tapi sedih sekali tidak ada seorang pun dari kalangan pemimpin India.

“Contohnya, P Ramasamy yang jadi ahli politik selepas bersara dari jawatan akademik tanpa rekod perjuangan di peringkat akar umbi yang juga Timbalan Ketua Menteri gagal mencari sebarang penyelesaian masalah rakyat. Beliau hanya pandai bercakap, keluar kenyataan hari-hari.

“Senang pula yang jadi sasaran adalah MIC. Saya pelik sebenarnya sukar faham kemarahan Ramasamy, pandai pula bercakap tentang pemilihan parti MIC walhal yang lebih demokratik adalah parti DAP itu sendiri,” katanya pada Perhimpunan Agung MIC di MITEC, di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan pencapaian pemimpin DAP manakala MIC  komited untuk meneruskan perjuangan masyarakat India sejak 75 tahun lalu.

P. Ramasamy

Vigneswaran memberitahu, partinya mempunyai sejarah perjuangan yang berjaya menyatukan dan memimpin masyarakat India  untuk mendapat kerakyatan, keluar daripada kepompongan kemiskinan serta maju bersama kaum lain.

“Tohmahan dan fitnah pembangkang, terutamanya ahli-ahli muda kita harus faham, sejak penubuhannya, MIC telah menjadikan kebajikan dan pembangunan ekonomi serta pemerkasaan masyarakat kita melalui pendidikan sebagai aspirasi dan misinya.

“Oleh yang demikian, apabila terdapat suara-suara yang menyatakan apa sumbangan kita, apa sumbangan MIC kepada masyarakat kita, nasihat saya kepada mereka, belajarlah sejarah negara ini sebelum terlambat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast