KUALA LUMPUR – Pemuda MCA Selangor membuat laporan polis berhubung dakwaan ugutan bunuh terhadap pempengaruh tempatan, Zarif Syarifuddin yang dipercayai menerima ancaman daripada beberapa individu.
Individu-individu terbabit didakwa warga asing susulan pendedahan yang dibuat olehnya mengenai kewujudan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan aktiviti mencurigakan di sekitar Puchong serta Selangor.
Pemuda MCA dalam kenyataan memaklumkan, ancaman terhadap Zarif yang dikenali sebagai Awie Mbr atau Abang Koroy amat membimbangkan kerana bukan sahaja mengancam keselamatan individu terbabit, malah boleh menjejaskan ketenteraman awam sekiranya tidak ditangani segera.
Menurutnya, tindakan mengugut secara terbuka terhadap seorang rakyat Malaysia kerana membangkitkan isu berkepentingan awam merupakan perkara serius dan tidak boleh dipandang ringan.
“Apabila seorang rakyat Malaysia boleh diugut secara terang-terangan hanya kerana menyuarakan isu masyarakat setempat, tindakan tegas dan pantas perlu diambil pihak berkuasa dengan segera,” katanya.
Pemuda MCA Selangor telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi menggesa siasatan menyeluruh dan segera dijalankan terhadap kes berkenaan.
Pemuda MCA turut menggesa polis menyiasat dakwaan ugutan itu mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah.
Jika ugutan dibuat melalui rangkaian komunikasi, pihaknya turut meminta siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu, Pemuda MCA Selangor meminta pihak berkuasa menyemak status imigresen individu yang didakwa terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Imigresen 1959/63 sekiranya terdapat kesalahan.
“Langkah sewajarnya juga perlu diambil bagi memastikan keselamatan Zarif serta tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat,” ujarnya.
Pemuda MCA Selangor menegaskan, setiap rakyat Malaysia berhak hidup dalam keadaan selamat tanpa rasa takut atau diancam ketika membangkitkan isu yang menyentuh kepentingan awam.
Dalam pada itu, parti berkenaan berharap kerajaan turut memberi perhatian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan aktivis masyarakat mengenai kebanjiran pelarian Rohingya dan PATI di negara ini.
Pemuda MCA Selangor berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu berkenaan, termasuk memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia terus menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette
















