KUALA LUMPUR – Wanita UMNO mahu semangat yang dicetuskan dalam Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026 diterjemahkan kepada gerak kerja di lapangan, dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan seterusnya untuk menguji kekuatan jentera parti.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, anggota sayap itu tidak boleh membiarkan semangat yang dibawa sepanjang perhimpunan berakhir selepas tirai persidangan ditutup.
Beliau sebaliknya mahu seluruh anggota Wanita UMNO pulang ke kawasan masing-masing dengan keyakinan baharu dan terus bekerja mendekati rakyat.
“Jangan kita hanya hadir dalam perhimpunan, kita dengar ucapan, kita bersemangat, kemudian kita balik dan semangat itu hilang.
“Kita mesti bawa semangat ini balik ke kawasan. Kita mesti bekerja,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026 di sini petang ini.
Noraini berkata, PRN Melaka yang semakin hampir perlu diberikan perhatian serius kerana ia menjadi antara medan penting untuk Wanita UMNO membuktikan kekuatan jenteranya.
Menurut beliau, kemenangan tidak akan datang hanya kerana nama UMNO atau Barisan Nasional (BN), sebaliknya perlu diperoleh melalui usaha mendekati dan meyakinkan rakyat.
Pada masa sama, beliau mahu anggota Wanita UMNO memperkukuh hubungan dengan masyarakat dan memahami denyut nadi rakyat di kawasan masing-masing supaya perjuangan parti tidak terputus daripada keperluan sebenar mereka.
Katanya, setiap anggota perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak menganggap tugas memenangkan parti hanya terletak di bahu pemimpin atau calon apabila pilihan raya tiba.
“Dari Dewan Merdeka, kita bergerak ke Melaka. Dari Melaka, kita susun kekuatan menuju PRU-16,” katanya.
Beliau turut menyeru Wanita UMNO supaya tidak gentar berdepan cabaran politik, sebaliknya terus berdiri teguh dan memainkan peranan dalam menentukan masa depan parti.
Noraini berkata, kemenangan di Melaka juga penting bagi membina keyakinan lebih besar dalam kalangan anggota dan penyokong parti menjelang PRU-16.
“Kita mesti pulang dengan semangat yang lebih besar, dengan keyakinan yang lebih kuat dan dengan satu tekad, kita mahu menang!” katanya.
Noraini berkata, Wanita UMNO perlu membuktikan bahawa sayap itu bukan sekadar penggerak ketika pilihan raya, tetapi kekuatan yang sentiasa berada bersama rakyat.
“Apabila semboyan pilihan raya dibunyikan, biar seluruh negara melihat bahawa Wanita UMNO sudah berada di medan. Jumpa di Melaka,” katanya bersemangat dan diberikan tepukan gemuruh. – MalaysiaGazette
















