KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperketatkan terma dan syarat penggunaan kemudahan `Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) bagi mengelakkan golongan muda, khususnya pelajar institusi pendidikan terjerat dengan beban hutang pada usia terlalu awal.
Setiausaha Puteri UMNO Negeri Pulau Pinang merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Jelutong, Nur Ain Alauddin berkata, kemudahan kredit yang terlalu mudah boleh menyebabkan komitmen kecil terkumpul sehingga menjejaskan kemampuan golongan muda membina simpanan kecemasan dan masa depan.
Menurutnya, penggunaan BNPL perlu dipantau kerana golongan muda mungkin belum mempunyai pemahaman mendalam mengenai risiko serta tanggungjawab menguruskan hutang.
“RM30 kita rasa sikit, RM50 kita rasa sikit. Kadang-kadang RM100 pun kita rasa sikit. Tetapi bila RM30, RM50, RM100 dijumlahkan, gaji bulan depan belum masuk, ramai yang sudah menunggu.
“Kita tidak mahu mereka terjebak dalam masalah hutang pada usia terlalu awal. Mereka mungkin boleh mendapatkan barang itu dalam masa yang singkat, tetapi hutang tersebut akan ditanggung dalam tempoh yang lama,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut menggesa platform BNPL memaparkan dengan jelas jumlah keseluruhan hutang, komitmen bulanan serta jumlah sebenar yang perlu dibayar pengguna.
“Jangan sampai kita belum mampu membeli rumah tetapi sudah mampu membeli hutang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu golongan muda yang takut untuk berkahwin akibat tekanan ekonomi, sambil menegaskan kerajaan perlu membina ekosistem yang lebih mesra keluarga muda.
Katanya, anak muda bukan tidak mahu berkahwin atau mempunyai anak, sebaliknya bimbang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menanggung komitmen berkenaan.
Selain itu, Nur Ain turut mencadangkan kerajaan negeri menyediakan mekanisme lebih mesra peniaga kecil termasuk mempertimbangkan kelulusan atau lesen khas bersesuaian supaya perniagaan kecil dapat terus dijalankan secara sah, teratur dan selamat. – MalaysiaGazette
















