Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Siti Faizah Abdul Azis

KUALA LUMPUR –  Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor dan Negeri Sembilan menyemarakkan semula ‘Gelombang Biru’, namun Wanita UMNO Melaka mahu momentum itu diterjemahkan kepada gerak kerja bagi mempertahankan 21 kerusi dimenangi pada pilihan raya negeri lalu.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata, kemenangan di dua negeri itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN boleh dibina semula apabila parti konsisten turun padang serta menyelesaikan masalah rakyat.

Menurutnya, kemenangan tidak seharusnya membuatkan jentera terlalu selesa kerana kepercayaan pengundi boleh berubah sekiranya parti gagal mengekalkan hubungan dan khidmat kepada masyarakat.

“Jangan kita terlalu selesa dengan kemenangan. Gelombang ini kita kena teruskan. Kita kena bekerja dan bergerak sebagai satu pasukan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini  hari ini.

Siti Faizah berkata, Melaka sudah menggerakkan pelbagai program mendekati rakyat termasuk Wakil Rakyat Untuk Rakyat, Jelajah Ketua Menteri dan Karnival Anak Muda yang memberi tumpuan kepada isu kehidupan serta keperluan masyarakat.

Katanya, usaha itu turut diperkukuh menerusi pendekatan pendigitalan seperti Kampung Digital dan Kubur Digital bagi memastikan gerak kerja kerajaan serta parti kekal dekat dengan masyarakat.

Dalam masa sama, beliau menyeru ahli supaya tidak membiarkan persepsi negatif dan fitnah terhadap UMNO terus mempengaruhi pengundi, sebaliknya turun sendiri menjelaskan kerja serta sumbangan parti kepada rakyat.

Beliau turut membangkitkan polemik Lembaga Tabung Haji (TH) yang menurutnya telah mencetuskan kecaman terhadap pemimpin UMNO, sedangkan kementerian dan agensi berkaitan terus melaksanakan pelbagai program membantu rakyat.

Antaranya, kata beliau, termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensi seperti KEMAS, FELCRA dan FELDA, selain usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memberi manfaat khususnya kepada masyarakat luar bandar.

Siti Faizah berkata, kekuatan UMNO perlu dibina melalui hasil kerja yang boleh dilihat dan dirasai rakyat, bukannya hanya bergantung kepada naratif politik atau kemenangan pilihan raya yang lalu.

Dalam isu kepimpinan wanita, beliau menyokong usaha Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam memperkukuh penglibatan wanita termasuk sasaran 30 peratus perwakilan wanita.

Beliau turut menyeru Wanita UMNO memperkasakan gerak kerja digital dan mengaktifkannya secara lebih agresif bagi mendekati pengundi serta menjawab persepsi terhadap parti.

Bagi pilihan raya akan datang, Siti Faizah berkata, Melaka mahu mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi, manakala baki tujuh kerusi diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan susunan terbaik termasuk calon.

Katanya, kemenangan Johor dan Negeri Sembilan perlu dijadikan pencetus kepada gelombang kepercayaan yang lebih besar, dengan jentera Melaka memastikan momentum itu terus bergerak menjelang PRU-16. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here