Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Langat, Wan Zulaika Anua.

KUALA LUMPUR –  Wanita UMNO Selangor memberi peringatan kepada kepimpinan parti supaya tidak memilih calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) berdasarkan populariti dalam parti semata-mata, sebaliknya menggunakan data dan penerimaan rakyat sebagai ukuran utama.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Hulu Langat, Wan Zulaika Anua berkata, jentera Wanita sentiasa bersedia bekerja untuk memenangkan calon parti, namun keputusan memilih calon yang berisiko kalah tidak seharusnya diletakkan di bahu mereka untuk diperbaiki ketika pilihan raya.

“Wanita Selangor tidak akan merajuk. Kita tidak akan memecahkan parti. Kita akan bekerja. Kita akan membantu memenangkan calon parti.

“Tetapi jangan beri kami calon yang kita sendiri sudah tahu akan kalah. Kita jangan berebut kerusi sampai lupa kenapa kita mahu kerusi. Kita mahu kerusi untuk menang,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia pada Persidangan Wanita UMNO, di sini.

Menurutnya, UMNO perlu mula membuat persediaan PRU-16 dari sekarang dengan mengenal pasti kawasan berpotensi, mengemas kini data pengundi, memperkukuh jentera dan mendekati golongan muda.

Katanya, pemilihan calon juga perlu berdasarkan kemampuan sebenar untuk menang kerana seseorang yang popular dalam parti belum tentu mendapat penerimaan sama daripada pengundi.

“Popular dalam parti tidak semestinya popular di hati rakyat. Kita kena ada data,” tegasnya.

Wan Zulaika turut tidak menolak usaha wajah baharu atau golongan profesional sebagai calon, namun meminta mereka diperkenalkan lebih awal kepada akar umbi dan diberi tanggungjawab bagi membuktikan kemampuan serta membina penerimaan rakyat.

“Kalau mahu membawa calon baharu, bawalah lebih awal. Kenalkan kepada akar umbi. Beri tanggungjawab. Beri peluang bekerja. Bina penerimaan.

“Jangan tunggu pilihan raya hampir tiba, kemudian muncul satu nama dan akar umbi diminta menerima tanpa soal,” ujarnya.

Beliau berkata, anggota parti yang telah lama berjuang juga berhak mendapat penilaian yang adil, meskipun tidak bermakna mereka mempunyai hak automatik untuk dipilih sebagai calon.

“Jika ada calon luar yang lebih baik, lebih kuat dan lebih berpotensi menang, buktikan dengan data. Buktikan dengan kerja. Buktikan dengan penerimaan rakyat.

“Jangan sekadar datang dengan nama besar tetapi akar umbi yang terpaksa menanggung risiko,” tegasnya.

Dalam pada itu, Wan Zulaika menyifatkan Wanita UMNO bukan sekadar jentera yang turun padang untuk menyelamatkan keputusan pemilihan calon yang dibuat pada saat akhir.

“Wanita UMNO bukan mesin untuk membaiki keputusan yang salah. Wanita UMNO adalah jentera untuk mencipta kemenangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa undi rakyat bukan hak UMNO, sebaliknya perlu dimenangi melalui kerja dan strategi yang tersusun.

“Rakyat hari ini mempunyai banyak pilihan. Kesetiaan tidak boleh lagi diandaikan. Undi bukan hak kita. Undi mesti dimenangi. Politik bukan tentang siapa paling ego. Politik adalah tentang siapa yang menang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here