PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan tujuh nama atas kuota PKR untuk dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengumuman dibuat oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi.
Ketika mengumumkan, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, partinya memandang tinggi harapan dan kehendak rakyat supaya parti-parti politik dalam PH menampilkan gabungan calon-calon dari pelbagai latar belakang yang berwibawa.
Antara nama-nama yang diumumkan oleh Anwar adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman yang akan bertanding di Perak, bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (Pahang) serta Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Wilayah Persekutuan).
Empat lagi calon yang disenaraikan iaitu bekas Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Nik Omar Nik Abdul Aziz (Perak), bekas ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop (Selangor), bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha (Negeri Sembilan) dan calon siswa, Fathin Amelina Fazlie (Perlis).
Bagaimanapun, Anwar tidak menyatakan sama ada kesemua calon-calon yang diketengahkan itu akan bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kita akan umumkan mengenai perkara itu pada 28 haribulan (ini),” katanya pada sidang media di sini hari ini. – MalaysiaGazette
Berita lanjut menyusul
















