Ramanan Ramakrishnan

PUTRAJAYA – Tidak akan berlaku lagi penyelewengan membabitkan dana Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, Datuk R. Ramanan yang memberi jaminan itu berkata, penyelewengan tidak akan berulang di agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, MITRA kini lebih telus dan berintegriti dalam setiap pengagihan dananya kepada kumpulan sasar.

“Saya boleh beri jaminan bahawa MITRA tidak akan ada apa-apa (kaitan) dengan penyelewengan. Tidak perlulah risau, kami akan telus,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wartawan berhubung perkembangan terkini siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap agensi berkenaan.

Sebelum ini, SPRM dilapor membuka sebanyak 33 kertas siasatan bagi kes penyelewengan dana MITRA bagi tempoh 2021 hingga 2022.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh yang memaklumkan perkara tersebut di Parlimen berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes telah dituduh di mahkamah.

Katanya, siasatan kes itu masih lagi diteruskan dengan beberapa kertas siasatan dalam tindakan arahan lanjut Timbalan Pendakwa Raya.

Pada Januari tahun lalu, media melaporkan, SPRM telah menahan 22 individu berhubung kes penyelewengan geran dana MITRA di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Semua suspek ditahan di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka dalam operasi MITRA 2.0. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast