KPKT
Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR –  Pas digesa supaya berkongsi kad laporan prestasi di tiga negeri yang diperintah parti itu.

Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berkata, Pas tidak harus hanya mendabik dada di atas pembangunan dan kebajikan yang disifatkan beliau ‘tidak seberapa’.

Menurut Kor Ming berbanding Pas, kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Harapan mengemukakan laporan prestasi yang memberangsangkan sebaik Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Justeru saya minta negeri ditadbir parti penunggang agama supaya tunjukkan kad prestasi anda sepanjang memerintah di tiga negeri itu.

“Apakah pencapaian kamu selama ini, selama 32 tahun pimpin pun bekalan air bersih tidak dapat selesai.

“Semalam ada seorang Timbalan Menteri Besar mendakwa Kelantan ada pembangunan dan buktinya ada pusat beli-belah, Aeon Mall di Kota Bharu. Saya mahu tanya pusat beli-belah itu dibina oleh kerajaan negeri atau syarikat?” kata Kor Ming.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan itu berkata, beliau berasa hairan bagaimana sebuah pusat membeli-belah boleh dianggap sebagai mercu tanda pembangunan di sesebuah negeri.

Kor Ming berkata demikian kepada pemberita selepas selepas melancarkan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan (GPP) Bandar Diraja hari ini.

Pas sebelum ini mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu Kor Ming tidak mahu mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi DAP pada pilihan raya di enam negeri.

“Berapa kerusi akan dapat kita tunggu hari penamaan calon pada 29 Julai nanti dan rundingan kerusi antara parti sudah selesai.

“Apa yang penting semua 18 parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan bersatu hati, senada, sehati dan sejiwa dalam memperkukuhkan kerajaan sedia ada,” kata beliau.

Kor Ming menegaskan, tugas utama adalah memperkukuhkan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus dapat terus membela kestabilan politik negara.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast