KANGAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menggesa isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar tidak dijadikan polemik politik, kaum atau agama sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Ketuanya, Azzin Izzad Bahanudin berkata, isu berkenaan perlu dilihat dari sudut penguatkuasaan undang-undang, selain menghormati hak kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kebebasan beragama tidak bermaksud peraturan berkaitan pemilikan tanah dan pembinaan boleh diketepikan.
“Kita tidak seharusnya mempolitikkan isu agama atau kaum dalam perkara yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang kerana ia boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azzin berkata, AMK Perlis bersetuju dengan prinsip yang ditegaskan Mufti Perlis bahawa semua pihak perlu menghormati undang-undang negara.
Menurutnya, sekiranya sesuatu struktur didirikan tanpa kebenaran atau hak milik tanah yang sah dan proses sewajarnya sudah dilaksanakan, tindakan penguatkuasaan perlu dihormati.
Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan terhadap rumah ibadat perlu dilakukan secara berhemah dan mengambil kira sensitiviti agama serta masyarakat setempat.
“Pada masa sama, AMK Perlis tetap mempertahankan hak masyarakat Hindu dan penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata, pendekatan seimbang perlu diambil supaya penguatkuasaan undang-undang tidak dilihat sebagai tindakan terhadap mana-mana agama atau komuniti.
Katanya, semua pihak perlu mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh memperbesarkan isu berkenaan sehingga menjadi pertikaian kaum dan agama.
“Jangan politikkan agama. Hormati undang-undang, hormati hak beragama dan pelihara keharmonian,” katanya lagi.
Kenyataan itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu perobohan kuil berkenaan.
Dakwa Rayer, tindakan perobohan itu sebagai angkuh, rasis, serta tidak sensitif terhadap masyarakat majmuk, dan menegaskan perkara sedemikian tidak akan berlaku di Pulau Pinang atau Selangor. – MalaysiaGazette
















