SHAH ALAM – Seorang bekas pemain Harimau Malaya yang pernah ditahan polis atas kesalahan memecah masuk bilik dan bertindak agresif terhadap wanita di Petaling Jaya pada Jun lalu akan didakwa ke mahkamah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, individu yang kini merupakan bekerja dengan pasukan bola Perak itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 10 Julai ini.
“Sebelum ini suspek telah ditahan polis bagi membantu siasatan pada 21 Jun lalu sebelum telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan oleh polis membantu siasatan kes.
“Selepas kertas siasatan kes berkenaan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, kita mendapat arahan untuk mendakwa individu itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin depan (10 Julai 2023),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, bekas pemain bola sepak itu akan hadir sendiri ke mahkamah Isnin depan untuk menghadapi pertuduhan kes kira-kira pukul 10 pagi.
Terdahulu dalam satu kenyataan pada 24 Jun lalu, Mohamad Fakhrudin mengesahkan penahanan lelaki itu selepas disyaki menceroboh sebuah bilik hotel yang dihuni seorang wanita di Petaling Jaya dalam kejadian pada 21 Jun lalu.
Kata beliau, polis menerima laporan daripada mangsa seorang wanita tempatan berusia 35 tahun yang mendakwa biliknya diceroboh lelaki berkenaan pada kira-kira pukul 6.10 petang. – MalaysiaGazette
















