DAP
Ahmad Zahid Hamidi

PORT DICKSON – Jentera Barisan Nasional (BN) di enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini mesti menjelaskan kepada akar umbi dan rakyat mengenai komitmen DAP untuk mempertahankan empat perkara berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP benar-benar ikhlas dalam perkara itu dan UMNO serta BN bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan setelah melihat komitmen parti berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, perkara itu perlu dijelaskan khususnya di kawasan kampung tradisional dan tanah rancangan Felda kerana isu berkaitan komitmen DAP tersebut masih dimainkan oleh pihak lawan.

“Pastikan di Negeri Sembilan dan lima negeri lain isu ini kita mesti jawab untuk kita dapat memberi penjelasan kepada orang lain, kita mesti jelaskan kepada ahli-ahli kita.

“Saya harap kepimpinan UMNO khususnya jangan bimbang, DAP adalah kawan kita, mereka akan melindungi empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Madan dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Berhubung PRN Negeri Sembilan, beliau memberitahu, jentera UMNO dan BN akan turun padang membantu kemenangan di kesemua 36 kerusi termasuk yang ditandingi oleh PH.

Presiden UMNO itu melihat bahawa kerjasama antara jentera BN dan PH di Negeri Sembilan pada tahap yang terbaik.

“Dalam situasi begitu komitmen daripada semua, iltizam untuk kita memenangkan negeri ini, kita kekalkan balik terus jadi kerajaan di negeri ini.

“Yang penting rakyat di Negeri Sembilan mesti disejahterakan, dimakmurkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kawan aq Ketua UMNO cawangan baca berita ini dia cakap ZAHID HAMIDI hilang akal SEBAB DAP itu hanya kawan ZAHID bukan kawan AHLI UMNO..

Comments are closed.