Poster 'missing person' terpapar gambar Lim Kit Siang.

JOHOR BAHRU – Poster dan kain rentang mencari Ahli Parlimen, Lim Kit Siang mula bertebaran di sekitar kawasan Nusa Perintis dekat Gelang Patah seolah-olah memberi gambaran pengundi di kawasan itu ‘dahagakan’ perkhidmatan wakil rakyat mereka.

Poster serta kain rentang itu antara lain tertulis “di manakan hilang Lim Kit Siang” dan “Where is Uncle Kit Siang ? Gelang Patah Missed You”, kali terakhir dilihat pada pilihan raya umum lalu.

Barisan Nasional (BN) bagaimanapun awal-awal lagi sudah menolak anggapan sesetengah pihak kononnya ia adalah kerja mereka.

Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik percaya isu itu lebih kepada rasa tidak puas hati pengundi-pengundi di Gelang Patah yang menuntut janji Kit Siang semasa bertanding di situ pada PRU lalu.

Kain rentang bertanyakan di mana Lim Kit Siang yang juga ahli Parlimen Gelang Patah.
Kain rentang bertanyakan di mana Lim Kit Siang yang juga ahli Parlimen Gelang Patah.

“Ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pihak kita mahu pun Barisan Nasional,” katanya.

Bagaimanapun, pembangkang di Johor pula mendakwa ia merupakan tindakan daripada pihak tidak bertanggungjawab yang mahu merendahkan kredebiliti Kit Siang.

Menurut Ketua Pembangkang Johor, Gan Peck Seng, beliau percaya, ia jalan diambil pihak tertentu dalam merancakkan lagi permainan politik mereka di kawasan tersebut.

“Mana ada beliau (Kit Siang) hilang, beliau masih lagi menjalankan tugasnya dengan sebaik mungkin dan ada setiap kali penduduknya memerlukan apa-apa,” katanya. – MalaysiaGazette.