Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (dua kiri) beramah mesra bersama peniaga yang merupakan anggota polis wanita semasa melawat pameran sambil diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh (kiri) pada Majlis Perasmian Polis Wanita Kuala Lumpur @ Probiz Klinik di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Polis wanita juga perlu diberi peluang untuk mengisi kekosongan jawatan di peringkat tertinggi sama seperti peluang dimiliki anggota polis lelaki.

Itu tegas Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun peluang yang dimaksudkan Shahrizat adalah kepada anggota wanita yang benar-benar layak.

“Zaman sekarang kata pujian wanita ini bagus ke apa ke hanya puji manis dibibir sahaja, tak guna, kita tak mahu. Kita nak kalau puji, kata mesti dikota,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Polis Wanita Kuala Lumpur@ProBiz Klinik di Hotel Premiera Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur,  Datuk Mazlan Lazim.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu turut melahirkan rasa terima kasih kepada semua anggita keselamatan terutamanya anggota polis kerana menjaga Kuala Lumpur dengan baik.

Malah beliau turut teruja kerana terdapat anggota polis wanita yang mengetuai Balai Polis seperti di Balai Polis Travers, Putrajaya dan Cheras.

“Kalau dahulu masyarakat mahu polis dalam kalangan lelaki sahaja namun sehari demi hari wanita dilihat mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki.

“Imej polis hari ini menyebabkan kita rasa selamat. Namun kalau ada perasaan walaupun polis ada tapi masih rasa tak selamat maka kamu dalam masalah,” katanya.

Untuk rekod sehingga kini jumlah keseluruhan polis wanita di Malaysia adalah seramai 13,348 dan daripada jumlah itu anggota polis di Kuala Lumpur adalah 1,118 anggota.

Pada majlis berkenaan seramai 500 anggota dan pegawai polis wanita pelbagai pangkat di setiap peringkat dan daerah Kuala Lumpur terlibat.

Selain seminar, aktiviti lain yang diadakam adalah pameran dan jualan serta persembahan nyanyian. – MalaysiaGazette