Datuk Seri Syed Ali Syed Alhabshee
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee

KUALA LUMPUR – Jika pemimpin Barisan Nasional (BN) bergaduh secara terbuka ia bakal menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan untuk menunjukkan betapa buruknya sikap pemimpin kerajaan, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu tidak menunding kepada mana-mana individu bagaimanapun menyifatkan pertelagahan secara terbuka sesama sendiri tidak akan menguntungkan kerajaan, lebih-lebih lagi ia hanya isu kecil.

“Tetapi sungguh mendukacitakan apabvila masih ada sebilangan kecil daripada pemimpin parti yang terjebak dengan pertelagahyan pendapat hanya disebabkan beberapa isu kecil yang sepatutnya diselesaikan secara berhemah,” kata Syed Ali dalam tulisan terbaharu di blognya.

Syed Ali menegaskan semua pemimpin yang mewakili pelbagai parti politik perlu mempunyai sikap menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza prinsip politik kerana kekuatan BN menjadi teras kepada kestabilan negara.

“Kita selalu mengingatkan generasi muda supaya mempertahankan keluhuran budi pekerti dan menghormati antara satu sama lain sebagai sebahagian budaya rakyat negara ini, tetapi kadangkala pemimpin sendiri tidak menunjukkan contoh yang boleh diteladani,” ujarnya.

Pembangkang tambah Syed Ali, akan mempolitikkan situasi sedemikian dengan menularkannya menerusi laman-plaman sosial untuk memberitahu rakyat betapa ‘buruknya’ perangai pemimpin UMNO dan BN.

“Ini yang sepatutnya kita kena fikirkan bersama, ini yang perlu kita berikan keutamaan kerana UMNO dan BN akan berdepan dengan PRU ke-14, jangan anggap isu kecil sebegitu tidak boleh mempengaruhi sikap dan tahap sokongan pengundi,” tegasnya.

Baru-baru ini, kontroversi tercetus selepas Menteri Pelancongan, Kesenian, Budaya dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyatakan rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan Akta Cukai Pelancongan 2017.

Ekoran itu, berlaku pertelagahan antara Abdul Karim dengan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz. – MalaysiaGazette