Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (tengah) bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang (dua kanan), Setiausaha Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh (kanan) dan ahli-ahli majlis tertinggi DAP semasa mesyuarat khas berkenaan arahan ROS kepada DAP untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Reaksi panik selepas keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP menunjukkan dua beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu dalam ketakutan.

Kedegilan untuk tidak mengadakan pemilihan semula memperlihatkan dua pemimpin tertingginya itu takut tidak memperoleh mandat untuk terus meneraju parti, kata Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

“Apakah Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang sangat takut dan sangat khuatir mereka sudah tidak lagi mampu untuk menang cukup undi dan berada dalam kelompok 20 teratas jika diadakan pemilihan semula,” katanya dalam satu kenyataan.

Zainal Abidin juga membidas DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan RoS tersebut dan mencadangkan mereka membawanya ke mahkamah sekiranya tidak mahu mengikut arahan yang dikeluarkan.

“Jika DAP tidak berpuas hati dengan keputusan RoS itu mereka boleh membawa masalah itu ke mahkamah,” katanya.

Jumaat lepas, Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC kerana RoS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 September 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut Mohammad Razin, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan. – MalaysiaGazette