Dua maut apabila treler dinaiki mereka mengalami masalah brek sebelum merempuh sebuah lori dan sebuah treler di Km 257 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, selepas Terowong Menora.

IPOH – Dua maut apabila treler dinaiki mereka mengalami masalah brek sebelum merempuh sebuah lori dan sebuah treler di Km 257 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, selepas Terowong Menora, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, pemandu treler, Mohd Amin Mohamad Noor, 52, maut selepas tersepit di tempat duduknya manakala kelindannya yang dipercayai berusia 16 tahun serta tidak mempunyai dokumen diri bersama, tercampak keluar daripada kenderaan tersebut dan maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri DSP Mohd Mahiri Hussin berkata kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu treler membawa muatan besi dipercayai gagal mengawal kenderaannya yang mengalami masalah brek sebelum melanggar sebuah lori tiga tan membawa barang elektronik di lorong kiri.

“Treler mangsa kemudiannya merempuh belakang sebuah lagi treler membawa muatan kayu lapis di lorong kiri,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata akibat perlanggaran tersebut pemandu treler dan kelindan lori muatan besi itu maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Kesemua pemandu treler dan lori serta kelindan lori terlibat yang berumur antara 23 dan 41 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

— BERNAMA