KUALA LUMPUR – Polis akan menyiasat Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin bawah Akta Hasutan kerana didakwa menghina Sultan Johor, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Mohamad Fuzi berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 4 akta tersebut dan Zamihan akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya dalam sebuah video yang viral semalam.
“Setakat ini dia tidak ditahan tapi kertas siasatan akan dibuka, setakat semalam satu laporan polis diterima,” kata beliau semasa sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol), hari ini.
Media semalam melaporkan kenyataan Zamihan dalam satu video dimuatnaik dalam Youtube yang mempersoalkan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bulan lalu yang mengecam pemilik sebuah dobi di Muar kerana enggan berurusan dengan pelanggan bukan Islam.
Jelas Mohamad Fuzi, perkara itu masih diperingkat awal siasatan dan tidak boleh memberikan penjelasan lanjutan mengenai tindakan susulan yang bakal diambil terhadap Zamihan.
“Siasatan ini masih diperingkat awal, saya tidak boleh elaborate lanjut,” ujarnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Zamihan mengancam untuk menyaman media kerana melaporkan berita berhubung satu ceramahnya yang didakwa menghina Sultan Johor dalam melibatkan isu ‘dobi untuk orang Islam sahaja’.
Beliau menuduh laman portal Free Malaysia Today (FMT) dan beberapa laman lain yang melaporkan berita daripada video yang dimuatnaik bertujuan untuk menfitnahnya dan sengaja mahu mengeruhkan hubungan antara golongan agamawan dengan pihak istana.
Video ucapan kuliah agama Zamihan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Shah Alam pada Ahad itu kini menjadi viral.
Beliau menafikan perkataan yang kesat dalam kritikan semasa berceramah tersebut dan menyatakan kesediaan untuk disiasat pihak berkuasa.
Zamihan memberi tempoh tujuh hari kepada beberapa media selain FMT untuk menarik balik laporan ditulis mereka dan memohon maat atau berdepan dengan tindakan saman. – MalaysiaGazette
Comments are closed.