Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (tiga dari kanan) mnyerahkan surat kelulusan pembinaan 10 sekolah Cina baharu kepada Presiden MCA Liow Tiong Lai di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kerja pembinaan 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baharu yang diluluskan Kementerian Pendidikan hari ini akan bermula awal tahun depan.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerja-kerja pembangunan sekolah yang dirancang di Johor dan Selangor itu akan disegerakan.

“Sebelum itu kami perlu menyelesaikan beberapa perkara penting khususnya isu pengambilan tanah yang dikenalpasti di negeri-negeri terlibat.

“Jadi kita tidak boleh memberi satu jangka masa tetap bila sekolah itu akan dibina dan disiapkan,” katanya yang juga Menteri Pengangkutan kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman pembinaan 10 sekolah Cina baharu oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini.

Turut hadir Presiden Gerakan merangkap Menteri Komoditi Perladangan dan perindustrian, Datuk Seri Mah Siew Keong; Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Seong dan Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon.

Beliau dalam perkembangan berkaitan mengakui akan ada kekangan daripada segi kelewatan kelulusan tanah khususnya di negeri Selangor yang ditadbir pembangkang.

“Lima sekolah baharu terlibat pembinaan di Selangor dan berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa Tempatan (PBT) memberi kerjasama menyegerakan pembangunan projek sekolah baharu ini,” katanya.

Katanya, cadangan pembangunan 10 sekolah Cina baharu ini telah dicadangkan MCA dalam persidangan parti itu pada tahun lalu.

“Permohonan itu telah dipertimbangkan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mengambil kira keperluan pendidikan untuk anak masyarakat Cina.

“Saya berterima kasih kerana cadangan itu telah diluluskan PM dan ia akan menjamin suasana pembelajaran kondusif dan selesa tanpa kesesakan pelajar berikutan kepadatan penduduk di kawasan tertumpu di sesebuah negeri,” ujarnya.

Tiong Lai bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kos yang diperlukan untuk pembangunan kesemua 10 sekolah baharu itu.

“Pun begitu, 10 sekolah baharu itu akan dibina secara berperingkat, dijangkakan tahun depan jika segala urusan pengambilan tanah yang sudah pun dikenalpasti diselesaikan sepenuhnya.

“Dari segi dana pembiayaan pembinaan sekolah kita akan terus berbincang dengan kerajaan kerana ini adalah inisiatif BN.

“Pembinaan 10 sekolah Cina baharu ini hanya permulaan dan lebih banyak lagi projek pembangunan akan menyusul pada masa akan datang mengikut arus pembangunan pesat negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, Siew Keong menyambut baik pembinaan 10 sekolah Cina baharu oleh kerajaan yang memenuhi keperluan pendidikan semasa.

Katanya, mengikut statistik terbaharu yang diperolehi pihaknya, bilangan murid bukan Cina yang menerima pendidikan di sekolah Cina meningkat.

“Menurut KPM, jumlah murid bukan Cina di sekolah vernakular itu meningkat 20.7 peratus dalam tempoh lima tahun lalu (2010-2014) atau peningkatan  15,020 murid.

“Ini bukti sekolah vernakular semakin mendapat keutamaan masyarakat berbilang kaum bukan sahaja Cina dan komitmen kerajaan dalam menjamin kemajuan sekolah bahasa Ibunda di negara ini terus terpelihara.

“Ia juga menifestasi kerajaan BN tentang kepeduliannya terhadap kebajikan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Gerakan bersama MCA akan terus memainkan peranan dan bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan suara dan hak masyarakat Cina sentiasa terbela,” ujarnya. – MalaysiaGazette