Jailani Johari

KUALA LUMPUR – Hukuman berat denda sehingga RM500,000 termasuk penjara tiga tahun akan dikenakan terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang membocorkan maklumat peribadi tanpa persetujuan, kata Datuk Seri Jailani Johari.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, di bawah seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 (Akta 709), ia menjadi satu kesalahan apabila maklumat peribadi dibocorkan menerusi apa-apa platform termasuk internet.

Menurut Jailani, setakat ini sebanyak tiga kes sudah pun dibawa ke mahkamah dan hukuman juga sudah dijatuhkan.

“Sehingga kini sebanyak tiga kes telahpun didakwa di bawah Akta 709 dan kesemuanya telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Selain daripada tindakan mahkamah, jabatan turut proaktif dalam menjalankan aktiviti jangkauan kepada masyarakat awam bagi memupuk kesedaran berhubung tatacara pemprosesan data peribadi bagi tujuan komersial ini,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada hal ehwal berkaitan kerahsiaan dan perlindungan data peribadi setiap warganegara.

Justeru itu beberapa perundangan telah digubal demi menjaga kepentingan awam dalam negara melangkah maju ke hadapan ditunjangi paksi-paksi teknologi.

Terdahulu, kontroversi tercetus selepas sebuah portal teknologi, Lowyat.net, dalam laporannya pada 18 Oktober lalu mendedahkan mendapat maklumat bahawa ada pihak sedang menjual pengkalan data maklumat peribadi milik rakyat Malaysia.

Portal teknologi itu mendakwa pada peringkat awal, ia sangat ragu-ragu dan menganggap cubaan menjual data peribadi itu sebagai penipuan. Tetapi dakwa portal itu lagi setelah disiasat mendapati ia mungkin ‘kebocoran data paling besar dalam sejarah Malaysia’.

Antara data untuk dijual itu ialah 50 juta masukan daripada berbagai syarikat telekomunikasi. – MalaysiaGazette