Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) bersama pucuk pimpinan tertinggi Pakatan Harapan mengangkat tangan selepas hadir bertemu dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Hasrat beberapa pemimpin Pakatan Harapan untuk bersemuka dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan status pendaftaran Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan politik yang sah tidak kesampaian.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun kementerian berkaitan tahu mengenai kehadiran pemimpin PH untuk berjumpa Timbalan Perdana Menteri itu namun Zahid mempunyai urusan lain yang lebih penting.

Katanya, pihaknya bagaimanapun dapat berjumpa dengan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan menanyakan mengapa pendaftaran logo dan PH dilewatkan sedangkan kementerian sedia maklum bahawa kata pemutus dalam isu tersebut adalah menteri bukannya pegawai.

“Kami pemimpin parti-parti Pakatan Harapan kecewa apabila diberitahu Zahid sedang berjumpa dengan Perdana Menteri. Tak dapat berjumpa menyatakan tujuan kami.

“Mereka faham rintihan kami, kami nak supaya parti campuran ini didaftarkan secepat mungkin kerana kalau beri keputusan seminggu dua sebelum (PRU), memag tidak mencukupi.

“Jadi nampak pegawai KDN faham keadaan kami dan mereka akhirnya telah menyatakan tadi bahawa terdapat masalah dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan parti (DAP).

“Kalau masalah ini diberitahu awal boleh kami selesaikan yang mana kami tidak ada niat untuk membantah atau menimbulkan masalah kepada kerajan,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Turut hadir pada pertemuan itu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Difahamkan masalah yang dimaksudkan oleh KDN merujuk kepada Mesyuarat Agung PPBM dan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, pihaknya bersedia mematuhi kehendak dan syarat yang ditetapkan kerajaan.

Ujar beliau, PH turut mendapatkan penjelasan daripada Alwi sama ada terdapat masalah lain yang menjadi kekangan untuk meluluskan pendaftaran PH.

“Kami tak hantar memorandum, kami cuma hendak mendapatkan sebab kenapa lewat daftar pakatan,”

“Untuk Harapan, kami tak ada jawapan ‘yes or not’ (daftar Harapan), dan dalam keadaan tak faham apa kesalahan kami.

“Kami sudah tidak ada idea untuk berjumpa menteri sebab sudah tahu sebab dan tindakan yang perlu diambil untuk mengimbangi segala usaha untuk mendapatkan kelulusan kelak,” katanya sambil menambah sejak sekian lama parti lain didaftarkan dengan segera berbanding PH. – MalaysiaGazette

Comments are closed.