Home Nasional Pos Malaysia lancar setem sitrus

Pos Malaysia lancar setem sitrus

Kakitangan Pos Malaysia menunjukkan setem sitrus yang akan dilancarkan pada Selasa depan.

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan mengeluarkan siri setem Sitrus Malaysia’ mulai Selasa depan.

Siri setem ini akan mengetengahkan ciri-ciri dan perisa limau yang menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia sejak dahulu lagi.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang dikurniakan dengan pelbagai perisa semulajadi dan limau merupakan bahan yang lama wujud dan sebati dalam masyarakat dan budaya kita, terutama dalam masakan serta bahan kecantikan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Al-Ishsal Ishak.

Tiga setem yang dikeluarkan untuk edisi ini adalah Limau Kasturi (60 sen), Limau Purut (60 sen) dan Limau Nipis (60 sen).

Lembaran Mini (MS) pula dicetak menggunakan teknik Gloss Varnish atau kemasan kilauan varnis, bagi menonjolkan isi buah Limau Bali sebagai sebahagian daripada ciri istimewa koleksi setem tersebut.

Selari dengan tema sitrus, imej perahan limau akan digunakan tanda pembatalan bagi siri ini.

“Kami menggalakkan semua pengumpul setem dan orang ramai mendapatkan salinan masing-masing segera kerana tidak akan ada pengeluaran semula koleksi ini
sebaik stok habis.

“Kami mencetak 200,000 keping untuk setiap reka bentuk setem (600,000 keseluruhan), 28,000 keping Sampul Hari Pertama (FDC), 25,000 helai MS dan 1,800 keping folder,” tambah Ishal.

Lembaran Mini (MS) dijual pada harga RM6.00 setiap satu. Manakala FDC berserta brosur percuma dijual dengan harga 55sen, manakala Folder pula dijual pada harga RM6.35 setiap satu.

Set lengkap siri ini boleh didapati pada harga RM60.20 setiap satu. Semua harga yang tersenarai adalah termasuk GST. – MalaysiaGazette