Kementerian Pendidikan

KUALA LUMPUR – Sekolah atau kelas yang terlibat dengan arahan penutupan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) diingatkan supaya tidak ingkar arahan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan peringatan itu kepada pengetua dan guru besar sekolah yang terlibat berikutan penularan kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Dimaklumkan bahawa sehingga 5 Ogos 2018 seramai 2,380 orang murid daripada 950 buah sekolah dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia terlibat dengan HFMD.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 149 kelas biasa, 65 buah kelas prasekolah dan lima buah sekolah telah diarah tutup oleh Kementerian Kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Sekolah atau kelas yang terlibat dengan arahan penutupan sekolah di bawah akta hendaklah mematuhi dan mengambil tindakan dengan seberapa segera melarang murid-murid dari hadir ke sekolah.

“Pengetua dan guru besar yang terlibat hendaklah memaklumkan kepada pengarah Pendidikan Negeri dan daerah dengan kadar segera akan notis penutupan sekolah,” sebut kenyataan itu hari ini.

KPM dalam kenyataan sama menambah, guru-guru dan kakitangan sekolah juga hendaklah diarah melaporkan diri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan menjalankan tugas.

Justeru, semua pengetua dan guru besar dikehendaki mengambil langkah-langkah perlu dengan memberi nasihat kepada semua murid agar sentiasa menjaga dan mengamalkan kebersihan.

“Pihak sekolah hendaklah menghubungi terus pejabat kesihatan daerah, hospital atau klinik berdekatan dengan kadar segera sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit tersebut terhadap murid-murid mereka di sekolah dan memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga murid terlibat.

“Ibu bapa dan penjaga juga harus diberitahu untuk mengawal aktiviti anak-anak mereka semasa berada di luar sekolah dan hendaklah merujuk terus ke hospital atau klinik berdekatan sekiranya ada tanda-tanda penyakit tersebut terhadap anak jagaan mereka.

“Ibu bapa juga dinasihati untuk sentiasa mematuhi panduan dan nasihat daripada kementerian kesihatan berkaitan penyakit ini,” tegas kenyataan itu lagi.- MalaysiaGazette