KUALA LUMPUR – Diskaun 50 peratus saman trafik yang bermula semalam sehingga esok nampaknya mendapat sambutan hangat dalam kalangan pesalah-pesalah trafik.
Mereka sanggup datang seawal pagi untuk mengelak beratur panjang bagi proses menyemak dan membayar saman.
Bagi yang sibuk atau terpaksa mencuri-curi masa untuk melunaskan saman-saman tertunggak tentunya tempoh tiga hari sempena Hari Bersama Pelanggan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ini sememangnya ditunggu-tunggu.
Sama ada lapang atau pun sibuk, peluang untuk menikmati potongan 50 peratus tentunya tidak akan dilepaskan terutamanya kepada mereka yang mempunyai saman tertunggak yang banyak.
Tinjauan MalaysiaGazette di Balai Polis Trafik di Jalan Tun H. S Lee di sini mendapati orang ramai beratur panjang terutamanya menjelang kaunter bayar saman ditutup iaitu pada pukul 4.30 petang.
Kelihatan payung-payung disediakan bagi membolehkan urusan semak dan bayar dijalankan sepanjang tiga hari tempoh diskaun 50 peratus berlangsung.
Orang ramai sabar beratur walapun terpaksa menunggu lama malah ada yang duduk bersila di atas lantai menunggu giliran masing-masing.
Cuaca panas terik juga tidak mematahkan semangat pesalah-pesalah trafik untuk melunaskan saman masing-masing
Orang ramai yang ingin menikmati 50 peratus diskaun boleh juga membuat pembayaran di TM Point Bukit Raja, Jalan Meru, Klang sehingga esok.
Bagaimanapun diskaun 50 peratus tidak terpakai bagi kategori berikut:
1. Saman Kemalangan Tahun Semasa
2. Saman Berstatus NC
3. Saman Berstatus Waran Tahun Semasa
4. Saman Dalam Perbicaraan
5. Saman Berkaitan LoriĀ
— MalaysiaGazette