- Datin Seri Rosmah Mansor akan menfailkan permohonan untuk menggantung prosiding kes saman sebuah syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan yang menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya.

KUALA LUMPUR – Pendengaran permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menerima dan memberi rasuah berhubung projek tenaga solar, ke Mahkamah Tinggi hari ini ditangguhkan ke tarikh lain.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian berikutan pihak pembelaan yang mewakili Rosmah, 67, baharu sahaja menerima dokumen permohonan memindahkan kes itu daripada pihak pendakwaan pagi ini.

“Kami memerlukan tarikh lain bagi meneliti permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi,” kata peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah.

Akberdin turut menyuarakan kebimbangan terhadap permohonan pendakwaan untuk menggabungkan dan membicarakan kes rasuah itu bersama dua lagi kes Rosmah iaitu pengubahan wang haram dan gagal mengemukakan penyata pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam itu berkata kesemua kes itu membabitkan transaksi yang berbeza dan pihaknya juga memerlukan masa untuk meneliti dan menjawab permohonan terbabit serta memohon tarikh lain iaitu sebulan lagi.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib bagaimanapun berkata pihak pembelaan sepatutnya tidak memerlukan masa yang lama untuk meneliti dan boleh membuat bantahan terhadap permohonan menggabungkan kes itu untuk dibicarakan bersama.

Hakim Collin menetapkan 24 Jan bagi mendapat maklum balas pihak pembelaan sama ada mahu mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu.

Hadir sama pada prosiding hari ini adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta anak lelaki mereka Mohd Ashman dan beberapa minit prosiding bermula, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut masuk ke bilik bicara dan duduk di sebelah Najib di galeri awam.

Turut kelihatan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri M. Saravanan yang dilihat sempat berbual dengan Najib serta Rosmah dan beliau meninggalkan bilik bicara sebelum kes bermula.

Pada 15 Nov tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA