Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 02 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita membasuh anjing di bilik tukar lampin bayi di sebuah Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Beliau berkata, walaupun Islam menjunjung tinggi kepentingan berakhlak dengan haiwan, namun setiap perkara itu perlu bersesuaian dengan tempat dan situasi.

Dalam insiden itu, Zulkifli menasihatkan rakyat Malaysia sewajarnya lebih matang dalam memahami fiqh co-existence yang menuntut untuk menghormati sensitiviti agama lain.

“Apa yang telah kita junjung selama ini dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Ia perlu difahami dengan sebaiknya dalam kehidupan silang budaya dan majmuk di Malaysia,” katanya menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab seorang pengguna Lebuhraya Plus minggu lalu yang menggunakan bilik tukar lampin bayi di R&R Tapah untuk membasuh anjing peliharaannya.

Aksi wanita terbabit telah menimbulkan kemarahan banyak pihak selepas videonya dirakam oleh seorang pengguna laman sosial, Farah Shafiza Che Amat melalui Facebook Live sejak Sabtu lalu.

Zulkifli juga percaya tindakan pemilik anjing tersebut hanyalah perbuatan bersifat individu dan tidak mewakili mana-mana masyarakat di negara ini.

“Saya percaya, itu cuma sikap individu dan tidak melambangkan sesebuah kelompok masyarakat tertentu.

“Marilah bersama-sama kita pelihara keharmonian hidup muhibah yang kita pertahankan selama ini,” katanya.

Sebagai langkah menjamin keharmonian semua rakyat Malaysia, Zulkifli akan memuat naik satu artikel mengenai kepentingan mengekalkan hubungan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Kami akan siapkan sebuah artikel berhubung kepentingan tatasusila dalam masyarakat majmuk dan akan dimuatnaik di www.muftiwp.gov.my dalam masa terdekat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita mandikan anjing di R&R Tapah