Kapsul Nan Bao dikesan mengandungi racun berjadual.

KUALA LUMPUR – Orang awam diminta mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kapsul Nan Bao kerana ia dikesan mengandungi racun berjadual sidenafil.

Kapsul itu keluaran Sinma Medical Products (M) Sdn. Bhd. dan pengilangnya adalah Lisheng Pharm. Fty Tianjin, China.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sildenafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.

Ubat-ubat yang mengandungi sidenafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.

Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Sidenafil dan analognya adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional.

Penggunaan ubat ini adalah sangat berbahaya bagi orang awam yang berisiko tinggi terhadap kesan advers tersebut terutamanya pesakit bermasalah jantung seperti angina yang mengambil ubat nitrate.

Menurut beliau, penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.
Pejualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. – MalaysiaGazette