Gobind Singh

KUALA LUMPUR – Stesen penyiaran RTM diarahkan supaya menyediakan laporan mengenai kemungkinan wujudnya perbuatan sabotaj kerajaan Persekutuan dalam kalangan kakitangannya seperti yang didakwa setiausaha akhbar seorang menteri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, sebaik mengetahui tentang perkara tersebut sebelum terbang Pulau Pinang pagi ini, beliau telah mengarahkan RTM supaya menyediakan laporan yang berkaitan.

Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan malam tadi memuatnaik hantaran di laman Facebooknya menyentuh tentang liputan langsung TV1 bagi Sambutan Tahun Baharu Cina PH yang dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, , timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selain menteri-menteri Kabinet lain termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sambutan Rumah terbuka itu diadakan di Dataran Centrio Seremban II pada malam tadi.

Bagaimanapun, Swee Kuan mendakwa tidak ada langsung liputan ucapan Menteri Besar selain sebarang liputan bosnya, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban.

“Saya telah meminta RTM memberi laporan kepada saya. Dapat laporan nanti, saya akan buat apa yang perlu,” kata Gobind kepada pemberita selepas pelancaran Terragraf bagi Komunikasi dan Facebook YTL, iaitu pasaran pertama di Asia, di Georgetown hari ini.

Ditanya sama ada wajib untuk RTM dan media milik negara lain untuk  menyiarkan sebarang ucapan oleh seseorang menteri, Gobind berkata, siaran malam tadi dibuat secara langsung.

“Saya telah meminta mereka untuk butirannya, terutama acara yang mereka diminta hadir, mengikut terma dan prosedur operasi standard.

“Saya perlu melihat perkara ini sebelum saya mengulas,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: RTM sabotaj kerajaan PH?