Datuk R Sri Sanjeevan
Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan

KUALA LUMPUR – Sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) mendesak Ketua Polis Negara (KPN) meletak jawatan serta-merta kerana didakwa menerima terima tajaan daripada syarikat ramalan nombor untuk melakukan lawatan kerja ke Turki.

Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) berpendapat lawatan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama pegawai kanan Bukit Aman ke Turki baru-baru ini boleh menjejaskan integriti dan keyakinan rakyat terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Pengerusinya, Datuk R. Sri Sanjeevan berkata, MyWatch melihat tindakan itu tidak boleh diterima kerana KPN dan pegawainya adalah orang Islam yang mana mereka tidak boleh menerima atau mengambil sebarang hasil judi walau apa pun tujuannya.

“Walaupun lawatan itu bertujuan untuk mempelajari teknik membanteras judi dalam talian, namun tidak sewajarnya pihak polis menerima tajaan swasta yang dilihat mempunyai kepentingan pihak tertentu.

“MyWatch juga hairan jika lawatan itu bertujuan untuk mendapatkan maklumat, berbincang serta belajar mengenai isu Islamic State (IS), menangani jenayah perjudian, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sepadan, kenapa Pengarah Cawangan Khas (PCK) dan Anti Keganasan tidak terlibat dalam lawatan itu,” katanya dalam kenyataan.

Dakwa beliau, pihaknya melihat tajaan ini lebih kepada cubaan membeli kepentingan polis untuk melindungi kegiatan perjudian di negara ini walaupun telah dilesenkan.

Tambah Sanjeevan, cubaan mempengaruhi pihak berkuasa di negara ini bukan perkara baharu, bahkan perkara itu pernah berlaku pada 2017 yang mana 6 pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ditahan uruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka.

Katanya, ia telah memaksa pihak polis membuat rombakan besar-besaran ketika itu susulan penahanan dua Ketua Polis Daerah masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintendan, dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan dan dua Inspektor.

Menurut Sanjeevan, dengan mengambil kira kebimbangan rakyat terhadap keselamatan semakin diperjudikan pihak polis, seseorang perlu dipertanggungjawabkan terhadap tajaan syarikat ramalan nombor dalam lawatan itu.

“Sehubungan itu, MyWatch mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk meletakkan jawatannya serta-merta tanpa menunggu tempoh persaraan wajib beliau pada Mei 2019,” ujarnya.

MyWatch, katanya, merasakan selagi mana KPN masih menerajui pasukan keselamatan negara itu, semakin terjejas integriti dan hilangnya kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.

Jelas beliau, KPN juga perlu mengambil kira desakan semua pihak malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengatakan tajaan itu salah di sisi undang-undang kerana syarikat yang menaja itu ada kepentingan, lebih-lebih lagi syarikat perjudian.

Sekiranya gagal berbuat demikian, kata Sanjeevan, MyWatch tidak teragak-agak membuat satu laporan kepada SPRM dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan