KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan Malaysia Airport Berhad (MAB) yang terlibat dalam satu kemalangan di landasan Lapangan Terbang Subang semalam, meninggal dunia hari ini.
“Selepas dua hari dirawat di unit rawatan rapi, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, telah meninggal dunia 6.45 petang hari ini,” kata MAB dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau meninggalkan seorang isteri Nor Azawiah binti Md Usuf dan empat orang anak berusia antara satu hingga 13 tahun.
“Kami menghulurkan bantuan sepenuhnya kepada keluarga mangsa dan menguruskan urusan pengebumian. Keutamaan kami untuk memastikan keselesaan dan kebajikan keluarga dijaga,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan Malaysia, Raja Azmi Raja Nazuddin.
Syarikat itu menyifatkan Ruzaimi sebagai kakitangan berdedikasi dan komited sepenuhnya terhadap kerjanya.
“Dia menyerlah di kalangan rakan sekerja dan pihak pengurusan sebagai seorang indivdu dengan etika kerja yang cemerlang. Kehilangannya merupakan satu kehilangan untuk Malaysia Airports,” kata kenyataan itu.
Pemandu kenderaan kejuruteraan lapangan terbang cedera parah dalam kemalangan yang melibatkan kenderaannya dan sebuah pesawat persendirian di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang semalam.
Malaysia Airports berkata para penumpang dan anak kapal pesawat tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan pada kemalangan 3.20 pagi.
— BERNAMA
Artikel berkaitan: Kakitangan MAHB parah dalam kemalangan dengan pesawat persendirian