Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau mencintai tugas yang ada sekarang dan tidak bercadang untuk kembali sebagai pemimpin pusat PKR.
Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau mencintai tugas yang ada sekarang dan tidak bercadang untuk kembali sebagai pemimpin pusat PKR.

Nurul Izzah berkata, beliau menggunakan statusnya sebagai Ahli Parlimen untuk melaksanakan pelbagai kerja yang berorientasikan pembangunan dan reformasi.

“Kenapa mesti ambil kisah tentang jawatan Kabinet? Tindakan memandang hanya kepada jawatan Kabinet akan menyempitkan pemikiran dan saya tidak kisah tentang jawatan,” katanya kepada Nanyang Siang Pau apabila ditanya mengenai khabar angin bahawa beliau pernah ditawarkan jawatan menteri.

Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah berkata, beliau percaya Tun Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua tahun selepas memegang jawatan itu.

“Saya rasa beliau akan menunaikan janji sebab ini bukan soal peribadi. Masa depan negara bergantung kepada kestabilan politik dan sama ada kami menunaikan janji.

“Kami berjaya menggulingkan kerajaan yang sudah memerintah 60 tahun, ia bukan atas jasa saya atau Dr. Mahathir, tetapi jasa setiap orang.

“Pengundi korbankan masa untuk tujuan ini, malahan mereka mengambil risiko untuk tujuan ini,” katanya.