Osman Sapian
Menteri Besar Johor, Osman Sapian. foto IQBAL BASRI, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan Menteri Besar Johor semalam, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen sebentar tadi, Dr Mahathir berkata, Osman menyerahkan surat peletakan jawatan semalam iaitu hari yang sama bekas menteri besar Johor itu bertemu dengannya di Putrajaya semalam.

“Osman menghadap Duli Yang Maha Mulia Mahathir Mohamad bersama satu surat letak jawatan kepada saya, satu lagi kepada Sultan Johor tetapi saya berhak untuk membacanya,” katanya.

Kata Perdana Menteri, beliau menerima peletakan jawatan tersebut serta tidak mendedahkan sebab sebenar Osman berbuat demikian.

Beliau berkata, telah ada beberapa nama dicadang untuk menggantikan Osman dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Katanya, yang pasti calon Menteri Besar Johor itu juga dalam kalangan ahli BERSATU seperti mengikut perjanjian Pakatan Harapan (PH).

“Buat sementara waktu, Johor tidak ada MB, (mungkin) kita akan lantik sama ada pemangku.

“Mengenai siapa penggantinya, kita belum tentukan tetapi mengikut perjanjian PH Menteri Besar Johor hendaklah terdiri daripada Bersatu. Kita ada tiga, empat calon tetapi belum tentukan lagi,” katanya.

Walaupun diasak berkali-kali punca Osman meletak jawatan, Dr Mahathir tetap menegaskan serta ‘berahsia’ sebab peletakan jawatan itu sebaliknya hanya menerima keputusan tersebut tanpa sebarang bantahan.

“Beliau mahu letak jawatan, kita terima sahaja,” tegasnya.

Beberapa jam lepas, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Sultan Johor sudah lama membuat keputusan untuk menukar menteri besar.

“Titah untuk tukar menteri besar dah lama. Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage, kononnya dia arahkan.

“Ke bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu. Jangan lupa, kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup-cukuplah politicking,” tulisnya di Twitter hari ini.

Osman mula terpalit dengan kontroversi apabila beliau dikaitkan dengan isu sijil palsu serta tindakannya pergi ke Batam ketika ribuan warga Johor terjejas oleh pencemaran di Sungai Kim Kim.

Beliau juga dikatakan gagal membentangkan pelan pembangunan serta tindakan ekonomi sehingga menyebabkan Sultan tidak ‘berpuas hati’.

Antara beberapa nama yang bertiup kencang menggantikan Osman termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal (BERSATU) yang hadir ke Pemukiman Pemimpin Malaysia Singapura di Putrajaya hari ini selaku wakil rasmi.

Selain beliau, turut disebut nama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohamad Kuzzan Abu Bakar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Semerah dari PKR.

Osman, 67, ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas sejak 1999 sebelum terpilih menjadi Menteri Besar Johor ke-16 pada 12 Mei 2018 sejurus selepas PH menang besar. -MalaysiaGazette