Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengesahkan secara rasmi penarikan balik ratifikasi Statut Rom.

Setakat ini, keputusan kerajaan menarik balik penandatangan Statut Rom hanya melalui kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan jawapan menteri di Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, kenyataan dan jawapan semata-mata tidak memberi kesan kepada ratifikasi yang terlebih dahulu dibuat melalui instrument, melainkan disusuli kaedah penarikan diri seperti termaktub dalam Statut Rom.

Kata beliau, meskipun keputusan kerajaan menarik balik sudah jelas, namun begitu masih ada pihak yang terus melobi untuk diteruskan ratifikasi Statut Rom termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Tindakan pihak yang masih mengusik sensitiviti majoriti warga negara beragama Islam adalah tidak wajar.

“Ia boleh mengganggu usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara yang sepatutnya menjadi tanggungjawab yang perlu diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Dr. Mahathir pada 5 April lalu menyatakan keputusan kerajaan Persekutuan untuk menggugurkan ratifikasi Statut Rom.

Perdana Menteri itu berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada pagi beliau membuat sidang media di pejabatnya di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad menegaskan, langkah dan pendirian formal yang mengabsahkan penarikan balik ratifikasi berkenaan di peringkat antarabangsa perlu jelas untuk menghilangkan kegelisahan rakyat majoriti.

“Saya menuntut kerajaan kemukakan kerangka masa atau ‘time frame’ dan ‘milestone’ proses penarikan balik ratifikasi ini,” katanya. – MalaysiaGazette