Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi bergelar banduan setelah Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan diraja kepadanya.

Ini dinyatakan Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil apabila Pas sewenang-wenangnya membuat kenyataan kononnya Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak layak menjadi perdana menteri kerana statusnya sebagai banduan.

Beliau menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan terhadap Anwar itu sebagai biadab dan celupar.

“Beliau langsung tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong yang memberi pengampunan penuh tanpa syarat kepada Anwar pada 16 Mei tahun lalu.

“Kuasa menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ini telah dilaksanakan secara betul mengikut prosedur undang-undang dan prinsip keadilan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.

Beliau mengulas kenyataan Takiyuddin ketika ceramah di Taman Indah, Sandakan, Sabah Rabu malam, mempersoalkan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai bakal perdana menteri.

Menurut Faiz, dengan pengampunan diraja itu bermaksud sekatan lima tahun di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit dan Anwar dibenarkan untuk terus menyertai pilihanraya.

“Ini bermakna sabitan ke atas kes liwat II telah diketepikan dan Anwar bukan seorang banduan.

“Pas tidak seharusnya membangkitkan isu ini kerana umum mengetahui Anwar dituduh dan dihukum atas campur tangan politik.

“Kes liwat II terhadap Anwar yang dituduh dan dihukum lima tahun penjara ini berlaku ketika pemerintahan kleptokrat Datuk Seri Najib Razak yang telah dijatuhkan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, jangan kerana mahu membela Najib yang kini berhadapan puluhan kes penyelewengan dan korupsi, Pas sanggup berterusan menggadaikan prinsipnya membela kezaliman dengan membangkitkan isu Anwar sebagai banduan.

“Sedangkan Anwar telah diiktiraf undang-undang layak dipilih sebagai perdana menteri,” ujarnya. – MalaysiaGazette