S. Kesavan

KUALA LUMPUR – Bekas penyelidik merangkap setiausaha sulit kepada seorang ahli Parlimen PKR yang mendakwa dirinya menjadi mangsa seksual minggu lepas sekali lagi membuat pendedahan.

Kali ini, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Rani  memberitahu Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan yang mendakwanya hanya pekerja sukarela satu pembohongan.

WhatsApp Image 2019-05-20 at 8.48.57 PM
Slip yang memaparkan jawatan Rani.

Kata wanita itu melalui panggilan Whatsapp, dirinya bukan sahaja tidak dibayar gaji selama bekerja lebih setahun yang melibatkan bayaran tunggakan lebih RM60,000 sebaliknya kenderaan miliknya juga digunakan oleh Kesavan.

“Saya telah ditawarkan gaji permulaan sebanyak RM3,000 dan elaun sebanyak RM2,000. Siap cakap saya dilantik sebagai setiausaha sulit jika berjaya menjadi timbalan menteri tetapi kemudian bila tidak dapat, dia tetap mahu saya bekerja untuknya di kawasan Sungai Siput.

“Terus terang saya cakap, saya ada bukti yang sangat kukuh malah setiap apa yang saya cakap saya ada rakaman, hitam putih serta dokumen yang akan menyokong dakwaan saya.

“Malah ketika krisis ini, saya telah ditawarkan untuk pembayaran secara ansuran sebanyak RM10,000 setiap bulan. Jika sukarela mengapa mahu bayar? Untuk tutup mulutkah?

“Bukankah dia buat tuduhan kononnya saya serang dia secara seksual jadi mengapa mahu kompromi?

“Saya ada banyak bahan bukti yang akan saya gunakan untuk mendapatkan keadilan untuk diri saya, jangan memandai sahaja cakap apatah lagi jika ada kuasa. Anda ada bukti yang mengatakan saya buat apa kamu dakwa itu?

“Saya ada semua bukti dan tidak langsung teragak-agak untuk dapatkan keadilan, perbuatan kamu ini sungguh menjijikan. Selama saya bekerja dengan dia, pada awalnya dia berkelakuan dengan baik sekali. Malah saya kenal baik dengan isterinya juga.

“Tetapi kedua-dua ini kuat drama, selalu telefon. Isterinya baru-baru ini menelefon saya selepas tertuang air panas di tangan dan menangis dengan saya, minta saya kembali bekerja dengan suaminya. Semua ini berlaku pada bulan Mei.

“Jadi bagaimana pula dengan cerita Kesavan kononnya sejak tahun lepas saya berkelakukan tidak senonoh? Jadi mengapa pula bawa saya berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau selain daripada mempergunakan kereta saya sehingga rosak? Itupun dia janji untuk selesaikan tetapi tidak pernah.

“Jika hendak berikan segala macam contoh, semuanya boleh dengan bukti sekali. Ketika ini saya dan suami sedang berunding dengan para peguam kami sebelum tampil membuat satu sidang media khas dalam terdekat ini.

“Saya juga akan lampirkan untuk media melihatnya sendiri siapa yang sebenarnya bercakap benar,” katanya sebentar tadi.

Baru-baru ini kecoh apabila Rani dan Kesavan saling tuduh menuduh dan membuat laporan polis telah mengalami gangguan seksual daripada satu sama lain.

Malah Kesavan pada sidang media Sabtu lepas mendedahkan dirinya tidak tahan dengan kerenah wanita itu yang menggangu beliau dan isterinya selain dalah berniat jahat dan cuba menjatuhkan reputasinya.

Dalam pada itu, Rani juga ada juga pihak yang mempertikaikan mengapa beliau hanya membuat laporan polis selepas Kesavan terlebih dahulu membuat laporan terhadapnya.

“Saya sebenarnya tidak berniat untuk memperbesarkan isu ini selepas berbincang dengan suami malah ada pihak yang bersama-sama Kesavan mendekati saya dan ajak berkompromi selepas laporan polis itu dibuat.

“Katanya Kesavan menyesal dan minta saya jangan besarkan perkara ini tetapi lain pula yang jadi malah makin menjadi-jadi. Saya sudah muak dengan permainan politik yang akhirnya menjatuhkan maruah diri saya.

“Kini ada pula pihak yang mahu tahu apakah jenis bukti yang saya ada, saya akan bercakap dengan pihak berwajib dengan ditemani oleh peguam saya. Cukuplah, ini sahaja had kamu. Saya tidak akan berdiam diri lagi,” tegasnya lagi.

Jumaat lepas sebuah portal berita melaporkan seorang ahli Parlimen PKR dari negeri ini dan seorang wanita saling membuat laporan polis antara satu sama lain.

Wanita berkenaan mendakwa menerima gangguan seksual daripada seorang ahli Parlimen PKR sejak Disember tahun lalu.

Dalam masa sama, ahli parlimen berkenaan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya akibat gangguan wanita berkenaan.

Sementara itu, Kesavan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada siasatan polis sepenuhnya.- MalaysiaGazette

Kesavan serah kepada polis siasat dakwaan lakukan gangguan seksual

Polis siasat kes gangguan seksual Ahli Parlimen