Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak mahu dirinya tidak diheret dalam kes skandal video luch yang mengaitkan individu mirip Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini.

Rafizi menyatakan dirinya dihujani panggilan telefon dari wartawan dan orang ramai yang ingin mendapatkan reaksi beliau mengenai kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PKR Sabah, Blission Zainuddin kononnya Haziq Abdul Aziz berada dengan kem beliau ketika pemilihan parti tahun lalu.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan kenyataan Blision cuba memberi gambaran seolah-olah beliau dalang kepada episod seks yang menggemparkan negara itu.

“Saya maklumkan kepada wartawan saya langsung tidak mahu terlibat kerana ia sangat memualkan itu. Ia menyebabkan rakyat benci kepada ahli politik dan KEADILAN kini terpalit sama dan sebab itu saya langsung tidak mahu komen pun,” katanya dalam status terbaharu beliau dalam Facebooknya petang tadi.

Beliau juga menafikan dakwaan Blission bahawa beliau pernah bersama Haziq semasa pemilihan parti tahun lalu.

“Saya bertegas dan ingin jelaskan bahawa seperti didakwa Blission, Haziq tidak pernah bersama saya sebaliknya sepanjang masa rapat dengan orang lain.

“Malah saya yang pertama mempersoalkan kenapa seorang (Haziq) yang pernah mahu keluar parti boleh bertanding dalam pemilihan parti PKR tahun lalu. Dalam pemilihan lalu, Haziq mendokong Najwan yang bersama Azmin.

“Kenyataan saya kepada media pendek dan saya nyatakan tidak mahu terlibat dalam perkara ini.

“Saya dimaklumkan kemudiannya bahawa Naib Ketua AMK Pusat Syed Shah Syed Osman telah pun mengeluarkan kenyataan dan mengemukakan bukti yang boleh menolak terus sebarang usaha untuk melibatkan saya,” katanya lagi.

Rafizi dalam status tersebut melampirkan bersama kenyataan Syed Shah untuk diperhalusi oleh orang ramai.

“Saya harap selepas ini usahlah cuba mengheret saya. Saya serahkan perkara ini untuk disiasat sebebas-bebasnya oleh pihak berkuasa,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here