Raggie Jessy Rithaudeen
Raggie Jessy Rithaudeen

PETALING JAYA – Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) perlu dipertimbangkan sebagai calon Perdana Menteri kelapan bukan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Bersama Gabungan Bangsa Nasional (GBN), Raggie Jessy Rithaudeen berkata, kelebihan yang dimiliki oleh Ku Li termasuk mempunyai hubungan baik dengan semua pemimpin politik termasuk Pakatan Harapan (PH).

“Bagi saya yang harus dipertimbangkan sebagai Perdana Menteri kelapan, ialah Tengku Razaleigh (kerana) diterima oleh ramai orang UMNO, Pas, PKR malah ada dalam DAP yang suka kepada beliau.

“Lim Kit Siang adalah kawan baik Tengku Razaleigh, beliau tiada masalah dengan sesiapa saja untuk kestabilan (negara) sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad inginkan perubahan kepimpinan untuk satu atau dua tahun akan datang, letaklah Tengku Razaleigh sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Raggie Jessy juga mendakwa, tiada jaminan calon Perdana Menteri itu mesti datang daripada parti politik yang menang dalam pilihan raya umum lalu dan mempunyai majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat.

“Perlembagaan Persekutuan menyatakan sekiranya seseorang itu mendapat sokongan daripada majoriti di Parlimen, dia boleh dipertimbangkan menjadi Perdana Menteri.

“Ia tidak semestinya daripada parti yang menang, walaupun dari segi konvensyen memang Perdana Menteri daripada parti yang memerintah.

“Tetapi kalau lebih daripada 112 ahli Parlimen sokong Tengku Razaleigh sebagai Perdana Menteri, maka Tengku Razaleigh boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Katanya lagi, Anwar perlulah melupakan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan kerana didakwa tidak mempunyai majoriti cukup dalam Parlimen.

“Anwar lupakan, anda tidak akan jadi Perdana Menteri, isteri anda tak layak jadi Perdana Menteri, keluarga kau taksub dengan kuasa, kemaruk kuasa, jauhi daripada jawatan Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette