Preisden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN itu berkata, pelantikan dibuat selepas mendapat persetujuan sebulat suara oleh komponen BN.

Bagaimanapun pelantikan bekas Perdana Menteri itu mendapat kritikan daripada pemimpin parti UMNO sendiri terutama Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang memberi isyarat yang beliau tidak gembira dengan keputusan itu.

Selain itu, Ahli Parlimen Padang Renggas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga mempersoalkan pelantikan Najib dengan alasan BN kalah dalam PRU-14 semasa di bawah kepimpinan Najib.

Ditanya sama ada pelantikan Najib relevan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan ia telah dipersetujui oleh MCA dan MIC serta ahli Majlis Tertinggi BN yang terdiri daripada pemimpin ketiga-tiga parti.

“Tentu ada sebab yang kuat untuk Najib memberi pandangan dalam platform yang beliau pernah ketuai.

“Ia ada kaitan apabila UMNO memberi penghormatan kepada Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO dan beliau tentunya mempunyai beberapa idea seperti pelantikan pengerusi lembaga penasihat BN,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen petang tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menjelaskan dalam perkara berkenaan sesiapa pun boleh memberikan pandangan tetapi yang pentingnya semua pihak mesti melangkah ke depan membantu BN dan UMNO untuk perkukuhkan parti.

Justeru katanya, sekiranya terdapat tokoh atau individu yang mempunyai idea yang terbaik bagi melakukan sesuatu yang berbentuk proaktif ianya amat dialu-alukan oleh UMNO dan BN.

“Tetapi tidak begitu sesuai jika pandangan yang berbentuk mengetepikan kelebihan seseorang dalam sumbang saran dan juga memberikan sumbangan tenaga, apatah lagi mempunyai pengaruh yang boleh membawa generasi pelbagai kaum untuk memenangi PRU-15.

“Maka kita ambil faktor itu sebagai faktor penarik untuk melibatkan seseorang itu untuk membantu organisasi politik bagi mengambil semula dokongan rakyat pada UMNO dan BN.

“Apatah lagi kita bekerjasama dengan Pas dan pelbagai parti yang tunjuk minat untuk bersama BN,” ujarnya lagi.

Ditanya lagi sama ada beberapa pemimpin lagi telah dilantik ke dalam lembaga penasihat BN, Ahmad Zahid menjawab, terdapat wakil daripada MCA, MIC dan UMNO dan ada kemungkinan orang sangat dikenali akan turut dilantik selepas ini daripada dalam kalangan bukan tokoh mana-mana parti.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.