Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Sun Ling ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-42, Ung Su Ling yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YR1M kelihatan terkejut  apabila didakwa sengaja mereka-reka cerita ketika perbicaraan SRC International yang melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta petang ini.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan mengeluarkan tuduhan seperti itu terhadap Su Ling berhubung keterangan beliau dalam perbicaraan kali ini.

Jelas Muhammad Shafee ketika sesi soal balas petang tadi, keterangan oleh Su Ling yang beliau telah membuang telefon bimbit jenis Blackberry yang mengadungi perbualan antara dirinya dengan Allahyarham Datuk Azlin Alias sesuatu yang tidak masuk akal.

Hujah Muhammad Shafee, sebagai seseorang yang berpengalaman seperti Su Ling yang telah bekerja di pelbagai agensi terkenal dengan jawatan tinggi tidak mungkin beliau akan sewenang-wenangnya membuang telefon yang mengandungi bukti seperti itu.

“Betulkah anda telah membuang telefon Blackberry anda itu terus ke dalam tong sampah? Pada saya, anda sebenarnya telah mereka-reka cerita kerana Azlin Alias sudah meninggal dunia dan tidak mungkin boleh memberikan sebarang keterangan balas.

“Terpulang kepada anda untuk menafikan atau tidak mempunyai maklum balas dengan dakwaan saya, pada saya seseorang seperti anda yang cukup berpengalaman bekerja di pelbagai tempat tidak akan sesekali berbuat demikian apatah lagi itu adalah bukti penting perbualan anda.

“Pastinya anda cukup perkara sebegini adalah bahan penting yang akan anda simpan apatah lagi jika seseorang itu sudah mati kerana pastinya dia tidak akan bangkit kembali untuk memberikan keterangan atau penafian,” katanya ketika sesi soal balas.

Bagaimanapun, Su Ling tidak bersetuju dan cuba mempertahankan kenyataannya sebelum ini iaitu membuang telefon tersebut dan menggantikan dengan yang baharu.

“Tidak saya tidak setuju dengan anda (Muhammad Shafee). Mungkin saya ini lurus orangnya atau mungkin juga saya telah mempercayai orang yang salah tetapi saya tidak mereka-reka cerita.

“Saya telah membuang telefon itu tanpa fikir apa-apa, itu sahaja,” tegasnya.

MGF17072019_MAHKAMAH NAJIB70
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Peguam, Tan Sri Shafie Abdullah semasa waktu rehat pada perbicaraan kes SRC International Sdn BHD membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 17 JULAI 2019.

Semalam, Su Ling ketika membacakan pernyataan saksi berkata pada Disember 2014, beliau diarahkan oleh Azlin untuk memberitahu Dr. Shamsul supaya memindahkan RM27 juta dan RM5 juta secara berasingan ke dua akaun Ambank.

Su Ling yang sekarang tidak bekerja turut dimaklumkan secara lanjut nombor dan akaun itu melalui aplikasi WhatsApp, bagaimanapun tidak menyimpan pesanan itu kerana sudah memadamkan nombor Azlin selepas kematiannya.

Malah dalam kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga Su Ling memberitahu perkara yang sama pada tahun 2015 yang beliau telah membuang telefon bimbitnya sebelum menggantikan dengan baharu.

MGF17072019_MAHKAMAH NAJIB63
Peguam, Datuk V Sithambaram hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 17 JULAI 2019.

Ketika di soal oleh Timbalan Pendakwaraya, Datuk V. Sithambaram mengenai telefon yang sama, Su Ling hanya mengatakan dirinya mungkin tidak begitu cermat dan tidak terfikir tentang implikasinya pada masa itu.

“Saya mungkin tidak cermat dan berhati-hati pada masa itu. Mungkin saya tidak terfikir saya sepatutnya simpan telefon itu dan bukan membuangnya,” jelasnya.

Pada masa sama, semasa sesi keterangan Su Ling berakhir, beliau juga meminta maaf seandainya sepanjang memberi keterangan itu ada menyebabkan segelintir pihak tersinggung atau berkecil hati. – MalaysiaGazette