Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari membuat lawatan ke Kolam Takungan Hiliran Kampung Hang Tuah bagi melihat keadaan sungai tersebut yang dicemari tumpahan diesel di Bestari Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan perbuatan sabotaj pihak tertentu menjadi punca Sungai Selangor dicemari minyak diesel atau benzena yang dikesan sejak petang semalam.

Amirudin berkata, minyak diesel itu dikesan memasuki aliran air sungai berkenaan melalui hos daripada sebuah pontun yang sudah tidak beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Saya lihat tadi salur yang keluar itu dia tak mungkin terurai atau terkeluar dengan sendirinya disebabkan oleh angin atau pun hujan.

“Sebaliknya ia disebabkan oleh ada mekanikal atau ada orang menariknya untuk mengeluarkan minyak tersebut.

“Sebab itu kita tidak boleh nafi atau tolak ada tindakan sabotaj, kecuaian ataupun tindakan kurang wajar daripada sesetengah pihak.

“Sebab itu pihak Sementa telah membuat laporan polis dan hari ini pihak polis turut membuat siasatan kalau ada sebarang bukti-bukti,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan di Loji Rawatan Air Fasa 2 (SSP2), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin; Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Shuhaimi Kamarulzaman.

Amirudin juga berkata, dalam kejadian petang semalam, sejumlah 100 liter minyak diesel terlepas ke dalam Sungai Selangor yang kemudiannya dikesan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.

“Semalam kita mengesan sekitar 5.30 petang ke 6 petang di tapak tadi di mana jaraknya 6 kilometer dari SSP2.

“Bila disiasat semalam didapati dari tangki minyak yang diisi benzena untuk menggerakkan enjin (pontun), tangki itu ada salurannya dan saluran itu kelihatan terbuka menyebabkan minyak turun dan jatuh ke dalam sungai.

“Benzena memberikan kesan baru kepada loji dan dengan sebab itu kita terpaksa hentikan (loji) sebelum ia mempengaruhi air terawat di SSP1,2,3,” katanya lagi. – MalaysiaGazette