Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa anjuran Talent Corp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau telah bertemu dengan pemimpin pelbagai parti pembangkang di pejabatnya di sini pada Selasa lalu.

Perdana Menteri memberitahu parti pembangkang itu terdiri daripada UMNO, Pas dan dari Sarawak yang meminta pertemuannya dengan beliau.

Jelas Mahathir, bukan setakat parti pembangkang sahaja, beliau turut berjumpa ramai orang termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Adakah awak intip saya (senyum)? Memang pertemuan itu berlaku tetapi saya jumpa semua orang dan bukan sahaja parti pembangkang termasuk NGO saya jumpa.

“Seperti kita ketahui, Presiden Pas sepanjang masa menyokong saya. Bukan benda baharu.

“Mereka ingin datang dan jumpa saya, saya jumpa mereka dan dengar apa mereka ingin katakan.

“Bila terdapat ramai daripada mereka yang meluahkan sokongan kepada saya, terima kasih banyak.

“Mereka datang daripada pelbagai parti, Pas, UMNO dan dari Sarawak. Mereka datang hendak jumpa, saya jumpalah mereka,” katanya.

MGF010819_PERSIDANGAN MEJA BULAT13
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambar bersama peserta pada Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa anjuran Talent Corp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 OGOS 2019

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Meja Bulat bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa anjuran Talent Corp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Mahathir diminta mengulas kesahihan laporan bahawa terdapat pertemuan antara beliau dan beberapa pemimpin pembangkang di pejabatnya baru-baru. – MalaysiaGazette