Liew Chin Tong (dua dari kanan) dan peguam beliau, Datuk Yeo Yang Poh menunjukkan petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Sivil Johor Bahru bagi mencabar keputusan PRU14 kerusi Parlimen Ayer Hitam.
Liew Chin Tong (dua dari kanan) dan peguam beliau, Datuk Yeo Yang Poh menunjukkan petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Sivil Johor Bahru bagi mencabar keputusan PRU14 kerusi Parlimen Ayer Hitam.

JOHOR BAHRU – Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Sivil, di sini hari ini bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Petisyen berkenaan difailkan peguam beliau, Datuk Yeo Yang Poh pada kira-kira 10.30 padi tadi.

Yang Poh berkata, petisyen difailkan kerana pihaknya merasakan ada asas yang baik untuk berbuat demikian.

“Selepas meneliti kes berkenaan, saya dan Chin Tong berpandangan terdapat beberapa peraturan dan undang-undang yang dilanggar sepanjang proses PRU-14 berjalan di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Menara Cyberport di sini selepas menfailkan petisyen tersebut.

Menerusi petisyen itu, Chin Tong menamakan Timbalan Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihanraya Parlimen Ayer Hitam, Mohd. Hafiz Aliman sebagai responden kedua manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), responden ketiga.

Sementara itu, Chin Tong berharap mahkamah akan mendengar kes berkenaan dan memberi pertimbangan supaya keputusan kawasan Parlimen Ayer Hitam boleh dikaji semula.

“Kami failkan kes ini pagi ini di Mahkamah Tinggi Sivil di sini dan kami berharap mahkamah akan mendengar kes ini dan memberi pertimbangan supaya keputusan kawasan Parlimen Ayer Hitam ini boleh dikaji semula,” katanya.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Chin Tong memperoleh 16,773 undi dan Ka Siong meraih 17,076 undi manakala calon Pas, Mardi Marwan pula hanya mendapat 4,975 undi. – MalaysiaGazette