Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjelaskan kepada rakyat status terkini Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang ditandatangan sejak 4 Mac lalu.

Ini kerana, berdasarkan laporan dari sesawang United Nations Treaties Collection (UNTC) nama Malaysia masih lagi tercatat sebagai negara yang menerima pakai statut berkenaan.

Padahal menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, soal penarikan diri Malaysia telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 April lalu.

Katanya, kerajaan juga menyatakan penarikan diri telah dimaklumkan secara rasmi melalui surat Kementerian Luar Negeri bertarikh 29 April 2019.

“Perkara itu dikatakan akan dimuktamadkan selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melengkapkan prosedur penarikan diri Malaysia.

“Apakah sebenarnya pendirian tersebut masih tidak dimaklumkan secara rasmi kepada UN atau tindakan pengumuman penarikan diri itu sengaja dilakukan bagi meredakan tekanan bertali arus dalam kalangan rakyat di negara ini?

“Saya menggesa Malaysia memantau dengan teliti segala aspek agar tidak berlaku kecuaian yang akhirnya terus mengikat negara ini dengan triti Statut Rom,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan, hal itu penting kerana hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum tarikh kuat kuasanya pada 1 Jun ini.

Rakyat Malaysia tidak akan memaafkan sesiapapun yang telah menjerumuskan negara ini ke dalam bahaya Statut Rom, lebih lagi jika kerajaan gagal menangani penarikan diri dari ratifikasi itu dengan sempurna atau berlindung di sebalik alasan kerenah birokrasi di PBB.

Kerajaan juga didesak untuk segera tampil memberikan penjelasan berkenaan status Malaysia dalam Statut Rom dan sikap sambil lewa serta berdolak dalik kerajaan dalam isu itu jelas tidak dapat diterima oleh rakyat.

“Beri penjelasan atau tunggu kebangkitan rakyat seterusnya,” tegas beliau. – MalaysiaGazette