Dr Mahathir ketika bertemu pemimpin Islam di United Kingdom baru-baru ini. - Foto FB Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana, Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak kisah dilabelkan sebagai anti-semantik oleh wartawan kanan akhbar Yahudi, Felix Pope.

Dr Mahathir yang membalas artikel yang disarkan dalam The Jewish Chronicle berkata, sikap tidak bersyukur ditunjukkan oleh orang Yahudi selepas diselamatkan daripada kekejamam Hitler patut dikutuk.

Malah menurut beliau, penindasan Yahudi terhadap orang Arab semitik di Palestin juga patut dikutuk.

“Ya. Saya tidak kisah dilabel antisemitik, ketidakbersyukur anda, penindasan anda terhadap orang Arab semitik, patut dikutuk oleh semua orang yang berfikiran waras.

“Anda adalah antisemitik seperti saya. Anda tidak peduli dengan penderitaan orang Arab semitik.

“Dan anda tidak peduli kepada berjuta-juta yang terbunuh dan cacat, dan keluarga mereka yang berduka. Di antara mereka terdapat ramai orang Islam,” kata Dr Mahathir dalam surat kepada Felix Pope.

Tambah beliau, orang Yahudi hanya memperbesarkan kematian enam juta kaum itu semasa Perang Dunia Kedua dengan peristiwa Holocaust.

Namun mereka membisu kejadian kematian berpuluh juta askar sekutu dan Rusia yang berjuang dan mati untuk mengalahkan Nazi Jerman.

Menurut Dr Mahathir, jika Nazi Jerman tidak dikalahkan orang Yahudi akan terus dimusnahkan dengan kejam.

“Enam juta orang Yahudi mati. Tetapi lebih ramai yang akan mengalami kekejaman yang dahsyat dan mati jika Jerman tidak dikalahkan.

“Bukankah orang-orang Yahudi harus mengingati penderitaan berpuluh-puluh juta itu juga.

“Bukankah mereka patut menunjukkan rasa syukur atas pengorbanan yang diperlukan untuk menyelamatkan mereka. Bukankah mereka (Yahudi) sepatutnya bersimpati dengan keluarga mereka yang meninggal dunia atau yang cacat,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata, Pope mungkin mempertikaikan askar bersekutu berjuang untuk menyelamatkan Yahudi.

Tetapi hakikatnya kekal bahawa kaum Yahudi telah diselamatkan dengan kekalahan Nazi Jerman dan pengorbanan askar-askar bersekutu.

The Jewish Chronicle menyiarkan artikel Felix Pope bertajuk UK Muslim leaders ‘inspired’ by antisemitic ex-Malaysian prime minister (Pemimpin Islam UK ‘mendapat ilham’ dari bekas perdana menteri Malaysia yang antisemitik) pada 13 Julai lalu.

Pope kemudian menulis surat kepada Dr Mahathir mengenai beberapa dakwaan dalam artikel tersebut dan memberi masa hanya beberapa jam kepada bekas perdana menteri tersebut untuk membalasnya.

Dr Mahathir menyiarkan surat balasan penuh di media sosialnya hari ini.- MalaysiaGazette