Bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang ditubuhkan semula menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan membuat pengambilan pegawai dan kakitangannya.

Dalam satu kenyataan KKMM memaklumkan, hanya mereka yang berkelayakan akan dipanggil dan diberi latihan untuk melahirkan pengamal komunikasi berkemahiran terutamanya dalam media sosial serta digital bagi menyebarluaskan maklumat-maklumat penting dalam usaha mendidik dan membudayakan norma baharu kepada masyarakat.

“Ini adalah amat penting dilaksanakan segera. Segala usaha ini juga akan terus menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat demi negara, selari dengan Belanjawan 2021 bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama ketika kita berjuang membebaskan negara daripada situasi pandemik ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, peruntukan yang diterima JASA dalam Belanjawan 2021 bertujuan bagi pengambilan lebih ramai kakitangan untuk ditempatkan di semua negeri dan daerah seluruh negara.

Malah, ia juga akan digunakan untuk pembangunan modul dan latihan kompetensi kakitangan serta melengkapkan keperluan prasarana digital bagi menyebarkan maklumat dalam pelbagai bentuk komunikasi agar dapat disampaikan secara berkesan kepada semua lapisan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi, katanya.

Selain itu menurut kenyataan itu, JASA juga melibatkan kos operasi bagi menggerakkan kakitangan khususnya di kawasan-kawasan yang jauh dan terpencil seluruh negara serta kos-kos lain yang diperlukan dalam penubuhan sebuah agensi baharu.

“KKMM memahami keresahan rakyat terhadap fungsi-fungsi JASA sebelum ini yang mungkin tidak dilaksanakan sebagaimana ditetapkan semasa pentadbiran terdahulu.

“Namun, KKMM memberi jaminan kepada semua pihak bahawa penubuhan semula JASA dianggotai oleh pasukan yang tidak langsung bermotifkan politik ini bertujuan untuk memperkukuhkan sahsiah dan pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu, JASA bertanggungjawab untuk mengadakan sesi-sesi libat urus dengan pemegang taruh termasuk pemimpin masyarakat sivil dan pemimpin komuniti setempat dalam mendapatkan input-input penting yang konstruktif bagi pembinaan negara bangsa.

Segala perbelanjaan adalah tertakluk kepada peraturan kewangan kerajaan yang akan diaudit, katanya.

Sehubungan itu, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan kepada JASA sudah pasti akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi melaksanakan fungsi dan peranan agensi berkenaan dengan berkesan.

Peruntukan itu juga katanya, secara langsung akan memberi peluang pekerjaan di samping menggiatkan ekonomi yang memberi manfaat kepada pihak penyedia perkhidmatan dan pekerja secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bazir duit ke jasa buat apa.. Salurkan ke frontliner lagi bagus dikala mereka memerlukan sokongan moral utk terus mngekang Covid…yg men3 sibok dok perbahagi duit

Comments are closed.